KUALA LUMPUR 8 April — Pasaran semikonduktor ASEAN berpotensi mencecah lebih AS$52 bilion (RM233 bilion) menjelang 2032 dengan ada usaha untuk meningkatkan rantaian nilai, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata, sebagai langkah bagi mengembangkan lagi pasaran semikonduktor rantau ini, yang berjumlah lebih AS$31 bilion (RM4.48 bilion) pada 2023, ASEAN mesti mara melangkaui kuantiti dan lebih berkecenderungan ke arah nilai.
"Ini bermakna usaha meningkatkan rantaian nilai dalam reka bentuk hadapan, fabrikasi, dan pembangunan harta intelek (IP), supaya ASEAN bukan sekadar tempat untuk inovasi dihimpun, tetapi di mana inovasi bermula," kata beliau.
Amir Hamzah berucap demikian ketika merasmikan perbincangan panel mengenai 'Negara yang mencipta melalui pemangkin ekosistem', dalam salah satu acara sampingan bersempena Mesyuarat Menteri Kewangan ASEAN dan Gabenor Bank Pusat ke-12.
Mengulas lanjut, beliau berkata bahawa tidak ada negara mampu mencapai kedudukan yang diidamkan itu hanya dalam keadaan bersendirian dan ASEAN mesti melakukan perkara serupa secara bersama-sama.
.
"Taiwan tidak bangkit melalui bakat semata-mata, dan Amerika Syarikat (AS) tidak memimpin melalui modal sahaja. Ia adalah berkait dengan ekosistem yang padu, diselaraskan dan disokong, serta membuat perbezaan, katanya.
Amir Hamzah berkata, blok serantau itu memiliki potensi besar untuk membentuk bab seterusnya dalam cerita semikonduktor global kerana ia ada keupayaan industri secara mendalam dan asas jurutera mahir yang semakin berkembang,
Selain itu kata beliau, ASEAN sudah merupakan hab inovasi yang semakin canggih, serta akses kepada beberapa pasaran pengguna dan perusahaan paling dinamik di dunia.
"Kekuatan ASEAN bukan terletak pada melakukan perkara sama di mana-mana tetapi saling melengkapi bersama-sama. Dengan penyelarasan betul, kita boleh mengubah ASEAN menjadi kuasa semikonduktor bersepadu, tangkas dan sedia masa depan," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata ASEAN mesti berhati-hati mengenai masalah yang dihadapi.
"Penjajaran semula rantaian bekalan global didorong oleh ketegangan geopolitik yang meningkat dan dasar perdagangan perlindungan sedang membentuk semula model perdagangan dan pengeluaran global," katanya.
Amir Hamzah berkata pengumuman AS baru-baru ini untuk mengenakan tarif timbal balik ke atas negara yang mempunyai lebihan perdagangan, termasuk tarif 24 peratus ke atas eksport Malaysia, bukanlah perkembangan terpencil.
Ia merupakan sebahagian daripada peralihan yang lebih luas ke arah dasar berpandangan ke dalam. Bagi ASEAN, katanya, langkah itu adalah titik perubahan yang memerlukan kejelasan, penyelarasan dan ketetapan kolektif.
"Tindak balas terbaik ASEAN bukanlah untuk berundur ke dalam perlindungan, tetapi untuk maju melalui integrasi. Kita mesti mempelbagaikan rantaian bekalan, memperjuangkan serantau terbuka melalui rangka kerja," katanya.
Ini seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), serta menggunakan sepenuhnya alat seperti ASEAN Single Window dan membina kepercayaan untuk mengurangkan geseran ASEAN.
Dalam perkembangan yang lain, Amir Hamzah berkata, ASEAN telah menghasilkan lebih daripada 10 syarikat unicorn dengan nilai gabungan melebihi AS$34 bilion (RM152.62 bilion) sejak 2012.
Bagaimanapun, beliau berkata, ekosistem permulaan rantau ini masih mengalami akses tidak sekata kepada pembiayaan, pasaran berpecah-belah dan sokongan skala terhad.
"Jika semikonduktor ialah perkakasan ekonomi masa depan, maka syarikat pemula ialah sistem pengendaliannya yang memacu ketangkasan, kebolehsuaian dan inovasi. Tetapi idea-idea berani tidak berskala secara berasingan.
"Untuk berkembang maju, syarikat pemula memerlukan infrastruktur peluang termasuk peraturan yang jelas, pasaran terbuka, rangkaian dipercayai dan institusi berkembang bersama mereka, bukan di sekeliling mereka," tambahnya. - DagangNews.com








