KUALA LUMPUR 22 April — Pasaran modal Malaysia terus menunjukkan daya tahan apabila mencapai nilai rekod RM4.3 trilion pada 2025, di sebalik pelbagai isu ketidaktentuan global yang terus memuncak.
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dalam Laporan Tahunan 2025 berkata, pasaran naik 3.2% daripada RM4.2 trilion pada 2024, dipacu peningkatan terbitan bon korporat dan aliran masuk dana kukuh.
Bagaimanapun, sentimen pelabur kekal berhati-hati dengan nilai dagangan purata harian pasaran ekuiti susut kira-kira 19.7% kepada RM2.76 bilion berbanding RM3.44 bilion pada tahun sebelumnya.
Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, prestasi sepanjang tahun tersebut mencerminkan kekuatan asas pasaran modal domestik walaupun berdepan dengan persekitaran luaran yang mencabar.
“Keputusan ini menunjukkan keupayaan pasaran modal Malaysia kekal berdaya tahan sambil memastikan keseimbangan antara pembangunan pasaran dan perlindungan integriti,” katanya dalam satu kenyataan.
Pasaran modal Islam turut kekal kukuh dengan pertumbuhan 4.31% kepada RM2.7 trilion, manakala aset di bawah pengurusan (AUM) industri pengurusan dana meningkat 6.9% kepada rekod RM1.14 trilion.
Jumlah dana yang diperoleh melalui pasaran modal juga meningkat 35.4% kepada sebanyak RM187.7 bilion, dengan sejumlah 60 penyenaraian hasil tawaran awam permulaan (IPO) dicatatkan tahun lalu.
Modal Teroka Turut Berkembang
Tambah SC, industri modal teroka dan ekuiti persendirian turut berkembang apabila dana terkumpul naik 21.66% kepada RM30.05 bilion, manakala pembiayaan alternatif pula menyumbang RM5.7 bilion.
"Laporan Tinjauan Kestabilan Pasaran Modal 2025 mendapati tiada risiko sistemik dikenal pasti, dengan pasaran ekuiti dan derivatif terus berfungsi secara teratur dengan modal kukuh," jelasnya.
Pada masa sama, badan berkanun kawal selia tersebut turut memaklumkan tiada kemungkiran bon korporat direkodkan, mencerminkan keupayaan syarikat tersenarai untuk menahan tekanan ekonomi.
Bagi perkukuh daya saing serantau, Malaysia ujar SC, turut diiktiraf sebagai antara negara terawal di rantau ASEAN yang menerima pakai piawaian pelaporan kemampanan antarabangsa ditetapkan ISSB.
Selain itu tambahnya, ia memperkenalkan rangka kerja Pejabat Keluarga Tunggal (SFO) melibatkan sembilan kelulusan yang menarik hampir RM670 juta aset di bawah pengurusan (AUM) secara indikatif.
"Mengulas prospek tahun ini, SC optimis pasaran modal Malaysia terus berkembang menerusi Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 yang menumpukan kepada aspek keterangkuman, dan inovasi," katanya.
Antara inisiatif utama ialah Program MY Value Up, rangka kerja baharu pembiayaan hutang bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta pengembangan produk aset digital dan tokenisasi sekuriti.
Langkah-langkah tersebut ujarnya, dijangka memperkukuhkan daya tahan pasaran serta meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan global. - DagangNews.com








