KUALA LUMPUR 7 Ogos — Pasaran modal Islam tempatan masih lagi kekal sebagai antara paling maju di peringkat global dengan mencecah sebanyak RM2.56 trilion yang direkodkan pada akhir April 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad'l Mohamed berkata, jumlah berkenan membentuk kira-kira 63 peratus daripada keseluruhan nilai pasaran modal negara ini iaitu RM4.04 trilion.
Tambahnya, pasaran modal Islam di Malaysia turut diyakini masyarakat kerana berteraskan peraturan yang kukuh, rangka kerja syariah boleh dipercayai serta kepelbagaian pangkalan penerbit dan pelabur.
"Pelaburan patuh syariah terus mendominasi dengan permodalan mencecah RM1.3 trilion, menyumbang 66.1 peratus daripada modal pasaran akhir Julai," katanya pada Persidangan Invest Shariah 2025.
Sementara itu tambah Fad'l, purata nilai dagangan harian (ADV) saham patuh syariah di Bursa Malaysia mencecah RM1.6 bilion atau 64.4 peratus daripada keseluruhan sebanyak RM2.4 bilion.
Setakat ini, 860 daripada 1,065 syarikat tersenarai adalah patuh syariah, membuktikan kepentingan berterusan pelaburan syariah memacu penyertaan pasaran dan penciptaan nilai jangka panjang.
Di peringkat global tambahnya, 80 peratus daripada aset industri kewangan Islam masih lagi kekal tertumpu di lima pasaran utama, iaitu Iran, Arab Saudi, Malaysia, Emiriah Arab Bersatu dan Kuwait.
"Kewangan Islam pantas menegaskan keunggulan status antarabangsanya, membentuk semula cara pasaran permodalan menyelaraskan pulangan kewangan dengan penuh nilai beretika," kata Fad'l.
Aset kewangan Islam global tambah beliau, melepasi AS$5 trilion (kira-kira RM21.14 trilion) pada 2024, meningkat sebanyak 12 peratus daripada 2023 dan lonjakan 43 peratus sejak lima tahun.
Beliau berkata, industri itu diunjurkan mencecah AS$7.5 trilion (RM31.7 trilion) menjelang 2028, mencerminkan peningkatan permintaan untuk kewangan patuh syariah merentas pasaran dan kelas aset.
Memandangkan jangkaan pelabur boleh berubah, Malaysia kata Fad'l, mesti mengukuhkan kedudukannya melalui penawaran yang lebih luas, ketersambungan lebih mendalam dan akses digital inklusif.
"Di luar ekuiti pula, pasaran sukuk Malaysia adalah matang dan berkembang, dengan aplikasi kini lebih meluas kepada terbitan berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG)," katanya.
Selain itu tambah beliau, ia disokong oleh pembiayaan infrastruktur yang berstruktur dan mandat kedaulatan, namun kejayaan pada masa lalu masih belum dapat menjamin situasi relevan masa depan.
Fad'l berkata, kepimpinan mesti diperbaharui melalui hubungan rentas sempadan yang lebih kukuh, penawaran luas produk serta prasarana digital membolehkan kemasukan dan kebolehcapaian besar.
Di samping itu kata beliau, masa depan kewangan Islam tidak akan dibentuk mengikut skala semata-mata, tetapi dengan keupayaannya untuk menyesuaikan diri, memimpin dan memberikan impak.
Bagaimanapun beliau berkata, usaha tersebut memerlukan aspek penjajaran yang lebih kukuh antara prinsip dan prestasi serta antara inovasi dan keterangkuman. - DagangNews.com








