Pasaran koko global kukuh, Guan Chong mampu peroleh banyak manfaat – RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pasaran koko global kukuh, Guan Chong mampu peroleh banyak manfaat – RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 2 Sept – Pasaran koko antarabangsa yang kekal ketat dengan harga biji koko pada paras tinggi membuka ruang besar kepada pemain utama industri seperti Guan Chong Berhad.

 

Menurut RHB Research, perkembangan tersebut berjaya mengukuhkan margin dan daya saing, meskipun kumpulan tersebut berdepan dengan banyak isu cabaran ketidaktentuan dalam jangka pendek.


Tambah firma itu, syarikat tersebut berada dalam posisi strategik meraih manfaat daripada ketidakseimbangan penawaran dan permintaan koko global disokong aktiviti pembelian bahan mentah.


“Kami kekal konstruktif terhadap prospek Guan Chong, walaupun untung jangka pendek dijangka tidak stabil, didorong pengembangan kapasitinya di Ivory Coast,” jelas RHB Research dalam notanya.


Kumpulan itu mencatatkan lonjakan hasil sebanyak 100% tahun ke tahun (YoY) kepada RM8.2 bilion bagi tempoh separuh pertama (1H25), meskipun jumlah pengeluaran dan jualan adalah menurun.


Peningkatan harga jualan purata (ASP) mendorong perolehan kasar naik 17.7% YoY kepada RM415 juta, namun keuntungan teras susut 10.2% YoY kepada RM142.8 juta, terkesan oleh beberapa faktor.


Antaranya kata RHB Research, disebabkan kerugian lindung nilai bersih RM330 juta, keadaan pasaran yang menjejaskan volum jualan (-8.4% YoY) serta kenaikan kos kewangan dan cukai (+50% YoY).


Bagaimanapun margin kasar tambah firma penyelidikan tersebut, masih kukuh kepada RM2,191/ton berbanding RM1,646/ton pada 2Q24, meskipun lebih rendah daripada 1Q25 iaitu RM2,898/ton.


"Guan Chong berada di kedudukan baik untuk mengambil peluang daripada situasi pasaran semasa yang menyaksikan harga biji koko terus naik, didorong oleh cukai 15% di pasaran New York," katanya.


RHB Research turut menyifatkan perkembangan positif itu dibantu stok terminal koko yang rendah dan kekurangan aktiviti jualan singkat oleh peniaga tradisional di pasaran antarabangsa sendiri.


Syarikat itu telah meningkatkan pembelian koko pada harga diskaun untuk memastikan kelebihan kos bagi suku berikut dengan pemulihan apabila permintaan meningkat menjelang musim tuaian utama.


Selain itu tambahnya, Guan Chong menjangkakan pemulihan permintaan pada 4Q25, walaupun volum pengisaran diunjur rendah pada 3Q25 dengan beberapa faktor yang menyokong margin dan keuntungan.


"Ini termasuk penundaan jualan dari 1H25 yang bakal direalisasi, harga koko serbuk kekal tinggi, kos bahan mentah rendah hasil pembelian strategik dan pengurangan kos lindung nilai," katanya.


Justeru, melangkah ke FY26, RHB Research menjangka pengembangan loji syarikat itu di Ivory Coast, serta strategi dan pemantapan saluran jualan diramal menjadi pemacu pertumbuhan utama Guan Chong.


RHB turut mengekalkan saranan 'beli' dan harga sasaran RM1.80 sesaham yang tetap mencerminkan daya tahan operasi dan pengurusan risiko syarikat tersebut dalam pasaran koko yang mencabar.


Ia turut mengambil kira risiko boleh dikawal antaranya ketidakstabilan harga bahan mentah koko, permintaan yang lebih lembap dari jangkaan dan pergerakan mata wang asing yang tidak memihak.


“Kami percaya pasaran belum menghargai sepenuhnya keupayaan Guan Chong mengurus cabaran luar jangka, sambil mengekalkan margin kukuh dalam industri koko global," katanya. - DagangNews.com