Pasaran hartanah Central London mula pulih, lonjak prospek SP Setia dalam projek Battersea – CGSI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pasaran hartanah Central London mula pulih, lonjak prospek SP Setia dalam projek Battersea – CGSI

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 23 Sept – Pemulihan pasaran hartanah di Central London selepas semakan duti setem pada Februari 2025 dijangka memberi suntikan positif prospek jangka panjang SP Setia Berhad.


Menurut CGS International (CGSI), kumpulan hartanah tempatan berkenaan diunjur meraih banyak manfaat besar khususnya melalui projek ikonik Battersea Power Station (BPS) di ibu kota England itu. 


Agensi hartanah global CBRE, dalam pertemuan bersama firma itu, menyatakan aktiviti pasaran di Central London kini kembali mendekati rekod purata 10 tahun dari segi transaksi dan kelulusan pinjaman.


Segmen pejabat pula kata firma penyelidikan tersebut, mencatat peningkatan kadar pengambilan dan sewaan, manakala pasaran runcit kekal teguh disokong sentimen positif pengguna dan bekalan terhad.


“Latar belakang pasaran yang semakin stabil ini dijangka menyokong pelancaran fasa-fasa baharu BPS serta meningkatkan nilai jualan dan permintaan terhadap projek,” jelas CGSI dalam nota kajiannya.


SP Setia katanya, menjangkakan BPS bakal menyumbang keuntungan lebih tinggi bermula tahun kewangan 2029 (FY29) dan seterusnya, apabila sebahagian besar kos pembangunan awal kini telah diserap.


Sehingga kini tambah firma berkenaan, sejumlah lebih 2,200 unit kediaman baharu berjaya disiapkan kumpulan tersebut merentasi empat fasa pembangunan, dengan kehadiran lebih 3,000 penduduk.


Syarikat berkenaan kata CGSI, kini bersiap sedia melancarkan Fasa 3C dalam tempoh suku-suku akan datang, yang meliputi dua blok kediaman setinggi 17 tingkat dengan sejumlah 306 unit baharu.


"Kami difahamkan kelulusan perancangan sudah berjaya diperoleh, menunjukkan kekuatan BPS dalam melaksanakan pembinaan pantas di tengah-tengah cabaran industri pembinaan Britain," jelasnya.


Secara keseluruhan, masih berbaki tujuh fasa pembangunan di atas 6.5 hektar tanah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) tertunggak yang dianggarkan mencecah £4.5 bilion (kira-kira RM26 bilion).


Walaupun prospek jangka panjang semakin jelas, CGSI menekankan pegangan efektif SP Setia dalam BPS hanyalah 40%, dan mengehadkan impak langsung terhadap pendapatan kumpulan dalam tempoh terdekat.


Justeru kata CGSI, pendapatan yang lebih kukuh dijangka direkodkan SP Setia dalam separuh kedua tahun ini atau pada tahun kewangan 2026, terutamanya daripada hasil pengiktirafan jualan tanah.


“Kitaran pembangunan yang agak panjang dan pegangan secara terhad dalam projek BPS bermakna sumbangan ketara kepada pendapatan hanya akan mula dirasai selepas FY27,” kata firma berkenaan.


Ia turut menyemak unjuran perolehan sesaham (EPS) syarikat itu bagi FY25, FY26 dan FY27 masing-masing kepada -2%, +1% dan +1%, berikutan perubahan kecil dalam jadual pengebilan kemajuan. 


Sehubungan itu, CGSI mengekalkan saranan 'tambah' terhadap SP Setia dengan harga sasaran dinaikkan kepada RM1.46 sesaham, berdasarkan diskaun 55% kepada nilai aset bersih diselaraskan (RNAV).


Saham SP Setia tambahnya, masih dinilai menarik berbanding purata lima tahun sebanyak 21 kali dengan pemangkin kenaikan termasuk pertumbuhan jualan lebih kukuh dan jualan tanah tambahan.


"Bagaimanapun ia perlu berdepan dengan banyak risiko utama termasuk kelewatan pelancaran projek baharu serta permintaan hartanah yang tidak menentu akibat faktor makroekonomi," jelasnya.


Namun dengan pemulihan pasaran London, strategi pembangunan tersusun dan jenama kukuh SP Setia, kumpulan berada dalam posisi strategik mengekalkan pertumbuhan berdaya tahan. - DagangNews.com