Pasaran buruh kekal stabil di sebalik ketegangan perdagangan global - Kenanga Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pasaran buruh kekal stabil di sebalik ketegangan perdagangan global - Kenanga Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 12 Mac — Pasaran buruh negara ini dijangka kekal stabil sepanjang 2025, walaupun timbul pelbagai isu ekonomi global yang berpunca daripada perubahan dasar Amerika Syarikat (AS) dan 'perang' perdagangan antarabangsa yang semakin sengit.
 

Kenanga Research berkata, permintaan domestik yang kukuh, peningkatan kadar gaji minimum pekerja swasta, dan pelarasan gaji kakitangan kerajaan yang lebih tinggi dijangka menyokong trend pertumbuhan penggunaan sektor swasta.
 

Selain itu, pelaburan swasta yang teguh, disokong oleh pelbagai inisiatif dasar negara dan pelaburan yang diluluskan dengan rekod tertinggi, akan terus menyokong pekerjaan.
 

"Pemulihan berterusan dalam pelancongan dan rekod perbelanjaan kerajaan Persekutuan yang tinggi akan terus menyokong ekonomi domestik," kata firma itu dalam nota kajiannya.

 

Artikel berkaitan: Kadar pengangguran Januari 2025 dalam trend menurun, rekod 3.1% - DOSM

 

Kadar pengangguran Malaysia yang kekal stabil pada 3.1 peratus pada Januari 2025, dan tidak berubah dari Disember 2024, sejajar dengan unjuran Kenanga Research sendiri.
 

Pertumbuhan pekerjaan menyaksikan lantunan semula, meningkat sebanyak 0.3 peratus bulan ke bulan, walaupun lebih rendah daripada kenaikan 0.7 peratus pada Disember 2024.
 

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sektor perkhidmatan mengalami pertumbuhan yang konsisten, terutamanya dalam penginapan, makanan dan minuman, perdagangan borong dan runcit, serta penjagaan kesihatan dan aktiviti kerja sosial.
 

Jumlah tenaga buruh di seluruh negara adalah berkembang, dengan menambah seramai 49,800 individu untuk mencapai keseluruhan 17.22 juta orang.
 

Sementara itu, bilangan orang di luar tenaga buruh menyaksikan sedikit penurunan sebanyak 0.03 peratus, berbanding penurunan 0.97 peratus pada Disember, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 7.15 juta. - DagangNews.com