Pasaran ACE terus jadi pilihan popular penyenaraian, tarik modal lebih RM1 bilion – M&A Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pasaran ACE terus jadi pilihan popular penyenaraian, tarik modal lebih RM1 bilion – M&A Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 15 Okt – Pasaran ACE terus mengekalkan kedudukan sebagai platform penyenaraian paling popular dalam kalangan syarikat tempatan yang ingin mengumpul dana dan tersenarai awam pada 2025.


Menurut firma penyelidikan dan penasihat korporat, M&A Securities Sdn Bhd, setakat hari ini, sebanyak 33 daripada sejumlah 43 penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO) dilaksanakan di Pasaran ACE. 


Angka itu mewakili lebih 75% daripada keseluruhan IPO di Bursa Malaysia, didorong oleh keinginan pelabur untuk mendapatkan pulangan lebih tinggi dalam persekitaran kadar faedah yang semakin rendah.


“Minat pelabur terhadap Pasaran ACE dijangka kekal kukuh menjelang akhir tahun ini, khususnya dalam sektor yang berpotensi tinggi seperti perindustrian, solar, dan pengguna,” menurut firma berkenaan.

 

 

 

 

 


M&A Securities turut muncul sebagai firma pelaburan yang paling aktif, dengan menjadi penasihat atau penaja kepada 12 IPO di Pasaran ACE setakat ini, tertinggi berbanding mana-mana firma lain.


Pasaran ACE, yang membawa maksud Access, Certainty & Efficiency dalam bahasa Inggeris, direka khas untuk syarikat berpotensi tinggi serta tidak mewajibkan rekod keuntungan seperti Pasaran Utama.


Menurut bekas jurubank pelaburan berpengalaman, Ian Yoong, kelonggaran syarat tersebut membolehkan lebih banyak syarikat bersaiz kecil dan sederhana untuk tampil ke pasaran modal awam lebih awal.


“Untuk tersenarai di Pasaran Utama, syarikat perlu tunjuk keuntungan agregat minimum RM20 juta dalam tiga tahun dan RM6 juta dalam tahun terkini. Pasaran ACE tidak seketat ini,” jelasnya.


Beliau menambah, daya tarikan sesebuah syarikat lazimnya diukur menerusi nisbah harga kepada pendapatan (PER) dengan yang lebih rendah memberi ruang prestasi penyenaraian yang lebih kukuh.


Keadaan berkenaan kata Yoong, terutama sekiranya syarikat tersebut beroperasi dalam sektor-sektor yang disifatkan sebagai 'panas' seperti kecerdasan buatan (AI), pusat data dan teknologi solar.


Tambahnya, daripada 43 IPO setakat ini, hanya 19 kaunter mencatatkan kenaikan harga saham, dengan yang paling menyerlah ialah Lim Seong Hai Capital Bhd menerusi Pasaran ACE yang meningkat 151.8%.


Perkembangan ini membawa nilai keseluruhan syarikat berkenaan di pasaran adalah RM1.81 bilion, dan harga sahamnya diniagakan pada 24.8 kali ganda daripada keuntungan tahunannya sebelum ini.


"Sebaliknya, antara kaunter mencatatkan kejatuhan saham terbesar termasuk Swift Energy Technology Berhad (-41.8%), West River Berhad (-33.8%) dan SumiSaujana Group Berhad (-33.3%)," katanya.


Yoong menjangkakan sekurang-kurangnya 10 lagi IPO berlangsung menjelang akhir tahun, dengan purata satu penyenaraian seminggu, sekali gus membawa jumlah keseluruhan kepada 53 hingga 55 IPO lagi.

 

 

 

 

 


Jelas beliau, walaupun tidak mungkin mencapai sasaran 60 penyenaraian ditetapkan Bursa Malaysia pada 2025, pencapaian ini tetap memberangsangkan dalam keadaan pasaran global yang mencabar.


M&A Securities juga melihat potensi dalam sektor baharu untuk penyenaraian sepanjang 2026, termasuk logam nadir bumi dan emas, selari dengan perubahan trend pelaburan global. - DagangNews.com