Parkson tamatkan pajakan premis di China bernilai RM30.2 juta, tiada kesan kepada kewangan kumpulan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Parkson tamatkan pajakan premis di China bernilai RM30.2 juta, tiada kesan kepada kewangan kumpulan

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 31 OktParkson Holdings Berhad menamatkan perjanjian pajakan bernilai 51.2 juta yuan (kira-kira RM30.2 juta) bagi sebuah premis peruncitan di Guiyang City, Wilayah Guizhou, China.


Langkah pembatalan itu melibatkan anak syarikat miliknya sebanyak 54.97%, Parkson Retail Group Limited (PRGL) yang disenaraikan di Bursa Saham Hong Kong (HKEx) dan turut dimaklumkan hari ini.


Ia menjelaskan yang Guizhou Shenqi Parkson Retail Development Co Ltd, anak syarikat 60% tidak langsungnya, sudah menandatangani perjanjian penamatan yang berkuat kuasa 30 November 2025.


"Ini melibatkan Guizhou Longgang Commercial Operation dan Guizhou Yuncui Property Management bagi menamatkan pajakan di Longgang International Center," maklum Parkson kepada Bursa Malaysia.


Susulan penamatan ini, berdasarkan piawaian IFRS 16 – Leases, PRGL akan menyahiktiraf aset hak guna bangunan tersebut sebagai tindakan pelupusan aset di bawah peraturan penyenaraian HKEx.


Bagaimanapun, PRGL menegaskan semua nisbah peratusan yang terpakai di bawah Peraturan 14.07 HKEx adalah di bawah 5%, menjadikan transaksi ini tidak dikategorikan sebagai transaksi boleh maklum.


Selain itu, PRGL turut menjelaskan, walaupun dimiliki sepenuhnya Guizhou Shenqi Enterprise Co Ltd yang memegang baki 40% ekuiti dalam syarikat usaha sama itu, ia tidak dianggap pihak berkaitan.


"Entiti sub-penyewa tersebut merupakan subsidiari yang tidak signifikan kepada PRGL, dan langkah penamatan pajakan ini juga tidak dikira sebagai transaksi pihak berkaitan," jelas kumpulan itu.


Parkson memeterai perjanjian selama 15 tahun untuk memajak ruang komersial seluas 18,004 meter persegi itu sebagai pusat beli-belah, pejabat, gudang dan projek lain di bawah tanda dagangan Parkson.


Ia ditandatangani pada 1 April 2024 dengan premis berkenaan terdiri daripada bangunan lima tingkat, termasuk satu tingkat bawah tanah yang terletak di 117, Zhonghua Middle Road di Guiyang City.


Syarikat itu menegaskan yang penyahiktirafan aset tersebut tidak memberi kesan material terhadap keuntungan atau aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2025.


"Keadaan tersebut berdasarkan kedudukan kewangan teraudit setakat 31 Disember 2024 dan langkah ini menandakan sebahagian usaha penstrukturan semula portfolio operasi PRGL di China," katanya.


Di samping itu, usaha penamatan pajakan berkenaan sebagai pengoptimuman kos dan perubahan fokus kepada aset runcit berprestasi tinggi ketika pasaran pengguna semakin mencabar. - DagangNews.com