Parkson perbaharui pajakan selama 20 tahun di Chengdu, China bernilai RM148.6 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Parkson perbaharui pajakan selama 20 tahun di Chengdu, China bernilai RM148.6 juta

Foto kredit Trip.Com
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 6 NovParkson Holdings Berhad memperbaharui semula pajakan untuk premisnya yang terletak di Times Square Complex di Chengdu, wilayah Sichuan, China selama tempoh 20 tahun.


Kumpulan tersebut berkata, perjanjian itu dimeterai oleh anak syarikatnya milik 54.97%, Parkson Retail Group Limited (PRGL) termasuk satu perjanjian tambahan bagi unit utama di aras satu.


Katanya lagi, tempoh pajakan itu bagi premis komersial yang melibatkan kawasan runcit aras bawah tanah sehingga aras lima adalah bermula 1 Oktober 2027 hingga 30 September 2047. 


"Transaksi ini diiktiraf sebagai pemerolehan aset yang bernilai kira-kira 251.8 juta yuan (kira-kira RM148.6 juta)," kata Parkson dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.


Selain itu menurutnya, sebagai perjanjian utama dengan nilai lebih 25% tetapi kurang 100% daripada jumlah aset PRGL, pembaharuan ini dikategorikan sebagai transaksi yang besar.


Justeru urus niaga tersebut memerlukan pengumuman, pekeliling dan kelulusan pemegang saham dengan kelulusan bertulis daripada pemegang saham berkepentingan sudah diterima syarikat.


Usaha itu jelas Parkson bagi menggantikan mesyuarat agung, dan pembaharuan pajakan premis tersebut dimaklumkan kepada Bursa Hong Kong kerana PRGL disenaraikan di pasaran berkenaan.


Pada masa sama, ia menegaskan yang transaksi ini tidak memberi kesan material terhadap keuntungan atau aset bersih bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025. - DagangNews.com