Paras hutang tinggi beri tekanan kepada aliran tunai IOI Properties, kata CGSI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Paras hutang tinggi beri tekanan kepada aliran tunai IOI Properties, kata CGSI

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 11 Ogos — IOI Properties Group Berhad dibimbangi mengalami tekanan aliran tunai disebabkan situasi paras hutang tinggi yang direkodkannya, menurut CGS International (CGSI).

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, keadaan negatif itu mengekang tahap fleksibiliti kewangan, terutama dalam persekitaran kadar faedah yang meningkat atau semasa kelembapan makroekonomi.

 

Selain itu tambahnya, keperluan perbelanjaan modal yang ketara untuk perbankan tanah dan usaha pelaburan baharu mungkin memberi tekanan tambahan kepada kumpulan pemaju hartanah berkenaan.

 

"Kami juga berpendapat tumpuan IOI Properties pada pembangunan perbandaran berskala besar boleh membawa garis masa lebih panjang dan kitaran penukaran tunai perlahan," kata CGSI dalam notanya.

 

Selain itu katanya, walaupun kehadiran serantau meningkat, hasilnya kekal bergantung pada pasaran Malaysia, mendedahkannya perubahan tidak dijangka dalam dasar domestik dan permintaan perumahan.

 

Begitu juga tambah firma berkenaan, langkah penyenaraian kumpulan dalam segmen amanah pelaburan hartanah (REIT) yang dirancang sebagai pemangkin penarafan semula utama pelbagai projeknya.

 

Bagaimanapun kata CGSI, masih terdapat keterlihatan secara terhad pada garis masa atau halangan kawal selia yang berpotensi, serta boleh melemahkan sentimen pelabur pada laluan penyahgunaan.

 

"Pada pandangan kami, dasar perumahan yang tidak serius mungkin mempengaruhi sentimen pembeli, di samping isu kelewatan pelancaran boleh melembapkan lagi momentum jualan IOI Properties," katanya.

 

Situasi berkenaan tambah firma itu amat penting bagi pemaju hartanah yang mempunyai kehadiran di Singapura, memandangkan beberapa kitaran lemah sepanjang sepuluh tahun lalu di negara tersebut.

 

CGSI berkata, sebarang perubahan secara mendadak dalam kadar faedah global atau tempatan turut boleh menjejaskan lagi trend permintaan perumahan dan meningkatkan kos pembiayaan untuk pemaju.

 

Pada masa sama katanya, pendapatan IOI Properties juga terdedah kepada turun naik mata wang disebabkan oleh faktor pendedahan perniagaan di beberapa negara, termasuk Singapura dan China.

 

"Akhirnya, keadaan itu membawa kepada ketidaktentuan ekonomi yang menimbulkan risiko penurunan permintaan hartanah dan seterusnya mempengaruhi trajektori pertumbuhan pendapatan," katanya.

 

Berdasarkan perkembangan semasa itu, firma berkenaan yang mula membuat liputan ke atas kumpulan tersebut meletakkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran RM3.25 sesaham. - DagangNews.com