KUALA LUMPUR 24 Sept – Paramount Corporation Berhad menerbitkan lagi sukuk wakalah bernilai nominal RM50 juta di bawah Program Sukuk Wakalah sedia ada dibenarkan yang berjumlah sehingga RM1 bilion.
Penerbitan pembiayaan terbaharu berkenaan menjadikan jumlah keseluruhan sukuk wakalah yang sudah diterbitkan oleh syarikat pemaju hartanah tersebut mencecah sebanyak RM280 juta setakat ini.
Sukuk ini merupakan nota jangka sederhana (MTN) bersifat patuh Syariah yang tidak diberi penarafan kredit dan diterbitkan sebagai sebahagian strategi pembiayaan tempoh sederhana hingga panjang.
"Perkembangan pelaksanaan program sukuk wakalah ini susulan pengumuman pada 15 Mei, 13 Ogos dan 23 Oktober 2024 serta 21 Mac 2025," kata Paramount dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Kumpulan itu tidak mendedahkan rasional program berkenaan namun sebelum ini ia dilancarkan bagi membiayai keperluan modal kerja, pelaburan, serta tujuan korporat lain selaras prinsip Syariah.
Pada 27 Ogos 2025, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Jeffrey Chew Sun Teong merancang memperoleh banyak tanah baharu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM6 bilion sebelum akhir tahun.
Antara kawasan tumpuan Paramount ialah di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kedah dengan setakat 30 Jun 2025, baki tanah belum dibangunkannya seluas 144.9 hektar manakala potensi GDV RM5.24 bilion.
Rancangan pengumpulan tanah baharu dan pembangunan tanah sedia ada yang belum dimajukan kumpulan itu dijangka mampu menyokong pelancaran projek tambahan sekurang-kurangnya selama enam tahun.
Paramount namun tidak berniat untuk meluaskan operasi di luar kawasan memandangkan Pulau Pinang, Kedah dan Lembah Klang masih menawarkan prospek pertumbuhan yang kukuh. - DagangNews.com








