Paragon Union, Asahi Seiren dari Jepun bentuk usaha sama bangunkan perkhidmatan kitar semula aluminium | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Paragon Union, Asahi Seiren dari Jepun bentuk usaha sama bangunkan perkhidmatan kitar semula aluminium

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 1 DisParagon Union Berhad melalui anak syarikatnya, Paragon Metal Sdn Bhd (PMSB), memeterai memorandum persefahaman (MOU) dengan syarikat Jepun, Asahi Seiren Co Ltd (ASCL).


Kumpulan tersebut berkata, ia dimeterai pada 28 November 2025 bagi menubuhkan usaha sama (JV) untuk menyediakan perkhidmatan kitar semula aluminium 'dross' dan skrap aluminium di seluruh Malaysia.


Katanya, kerjasama berkenaan termasuk dari segi konsultansi dan sokongan di tapak berkaitan pengurusan teknikal, operasi, dan keuntungan dengan PMSB akan memegang sebanyak 60% kepentingan.


"ASCL memegang baki 40% dalam syarikat JV yang bakal ditubuhkan, dengan modal berjumlah RM500,000 dengan tanggungjawab PMSB merangkumi pelbagai aspek," maklum Paragon kepada Bursa Malaysia.


Ini jelasnya termasuk undang-undang, lesen dan operasi harian, manakala ASCL menyediakan kepakaran teknikal, reka bentuk kilang, pengurusan operasi, serta inisiatif untuk pelbagai produk sampingan.


MOU ini dijangka meningkatkan nilai saham jangka panjang dengan memanfaatkan pasaran aluminium kitar semula yang berkembang pesat, selaras prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG)


Walaupun ini tidak memberi kesan kepada modal saham atau pegangan pemegang saham utama, ia dijangka menyumbang positif kepada keuntungan dan perolehan sesaham syarikat dalam jangka masa panjang.


"Laporan penuh MOU berkenaan boleh disemak di pejabat berdaftar Paragon Union di Mid Valley City, Kuala Lumpur selama tiga bulan dari tarikh pengumuman," katanya. - DagangNews.com