KUALA LUMPUR 7 Jan - Paragon Union Berhad memuktamadkan kerjasama dengan syarikat Jepun, Asahi Seiren Co Ltd (ASCL) bagi menyediakan khidmat perundingan komprehensif dan sokongan di tapak.
Kumpulan tersebut berkata, ia dimeterai anak syarikat miliknya, Paragon Metal Sdn Bhd (PMSB), menerusi perjanjian pemegang saham usaha sama (JVA) dengan menubuhkan Paragon Asahi Seiren Sdn Bhd.
Syarikat usaha sama (JV) itu akan menawarkan perkhidmatannya bagi aspek teknikal, operasi, dan pengurusan keuntungan yang berkaitan kerja kitar semula aluminium 'dross' dan skrap aluminium.
"Modal saham terbitan RM500,000 dengan PMSB memegang 60% kepentingan kira-kira RM300,000, manakala ASCL pula baki 40% ekuiti iaitu RM200,000," maklum Paragon Union kepada Bursa Malaysia.
Pelaburan berjumlah RM300,000 itu akan dibiayai sepenuhnya melalui dana dalaman syarikat, dengan baki tunai dan bank kumpulan yang diaudit setakat 30 September 2025 adalah kira-kira RM8.8 juta.
Lembaga pengarah syarikat JV itu katanya, akan terdiri daripada lima ahli, dengan tiga wakil daripada PMSB, manakala dua wakil daripada ASCL, dan pengerusi lembaga tersebut akan dicalonkan oleh PMSB.
Dalam pembahagian tanggungjawab, PMSB menguruskan perundangan tempatan, lesen operasi, pentadbiran harian, perolehan bahan mentah di Malaysia, serta isu jualan dan pemasaran serantau.
"ASCL pula memberikan kepakaran teknikal, reka bentuk loji, latihan tenaga kerja, serta memantau proses pengeluaran, inisiatif penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk sampingan," jelasnya lagi.
Langkah strategik ini tambah Paragon Union, dijangka memberi nilai jangka panjang kepada pemegang saham dengan menceburi pasaran aluminium kitar semula global yang sedang berkembang cukup pesat.
Selain itu katanya, usaha tersebut memperkukuh kedudukan kumpulan berkenaan sebagai korporat yang mematuhi prinsip alam sekitar, sosial dan tadir urus (ESG) menerusi rantaian bekalan mampan.
JV tersebut tiada kesan material terhadap aset bersih atau penggearan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, namun dijangka menyumbang secara positif dalam tempoh jangka panjang. - DagangNews.com








