KUALA LUMPUR 17 Okt – Paragon Union Berhad akan mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) bagi mendapatkan kelulusan pemegang saham melupuskan pegangan ekuiti dalam anak syarikatnya.
Kumpulan tersebut berkata, ia melibatkan penjualan 100% kepentingannya dalam Paragon Car Carpets & Components Sdn Bhd (PCCCSB), dengan nilai dipertimbangkan sebanyak RM13.42 juta secara tunai.
Sesi EGM tersebut tambahnya, akan berlangsung pada 28 November 2025 di Dewan Perdana Ballroom, Bukit Kiara Equestrian and Country Resort, Kuala Lumpur, yang dijangka bermula pukul 10 pagi.
"Pelupusan ini melibatkan sejumlah 22.75 juta saham PCCCSB, mewakili keseluruhan ekuiti Paragon Union dalam syarikat berkenaan sejak ia ditubuhkan pada 1983," maklumnya kepada Bursa Malaysia.
Nilai pelupusan tersebut katanya, akan diselaraskan mengikut terma dalam Perjanjian Jual Beli Saham (SSA) dan perlu dijelaskan sepenuhnya oleh pengurusan syarikat baharu dalam bentuk tunai.
Paragon Union tidak mendedahkan siapakah pembelinya, namun sebelum itu, Oceancash Pacific Berhad pada 10 September 2025 pernah mengumumkan usaha pemeteraian perjanjian pengambilalihan PCCCSB.
Sementara itu, kumpulan tersebut berkata, Lembaga Pengarah diberi kuasa untuk mengubah suai kaedah atau tujuan penggunaan hasil pelupusan tersebut mengikut kesesuaian demi kepentingan syarikat.
“Hasil daripada pelupusan anak syarikat ini akan digunakan mengikut peruntukan ditetapkan dalam Seksyen 3 pekeliling kepada pemegang saham yang bertarikh 17 Oktober 2025,” jelas Paragon Union.
Katanya, pemegang saham yang layak hadir dan mengundi pada EGM adalah berdasarkan rekod pendeposit pada 21 November 2025 dengan mereka turut berhak melantik sehingga dua wakil sebagai proksi.
Bagaimanapun tambahnya, ia tertakluk berdasarkan syarat pembahagian pegangan saham dinyatakan dengan jelas dan tarikh akhir penghantaran borang proksi ialah 26 November 2025. - DagangNews.com








