Paragon Globe, UOB Malaysia meterai kerjasama 5 tahun pacu pembiayaan hijau dan pelaburan mampan di JS-SEZ | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Paragon Globe, UOB Malaysia meterai kerjasama 5 tahun pacu pembiayaan hijau dan pelaburan mampan di JS-SEZ

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 7 NovParagon Globe Berhad (PGB) hari ini memeterai Memorandum Kerjasama (MOC) selama lima tahun dengan UOB Malaysia bagi memperkukuh pembiayaan hijau, integrasi mampan dan pelaburan rentas sempadan berteraskan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).

 

Kerjasama strategik bernilai tinggi ini bakal memperlihatkan UOB Malaysia sebagai Rakan Kongsi Perbankan Pilihan bagi projek-projek perumahan, komersial dan industri di bawah PGB, meliputi pelbagai inisiatif pembiayaan mampan serta penstrukturan dana hijau.

 

Menurut kenyataan PGB, kedua-dua pihak akan bekerjasama untuk menyusun mekanisme pembiayaan hijau dan mampan, membantu hubungan pelaburan serta memperkenalkan amalan terbaik Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) ke dalam setiap portfolio pembangunan kumpulan.

 

Di bawah perjanjian ini, UOB Malaysia turut akan menawarkan pakej perbankan eksklusif kepada pembeli rumah dan rakan niaga PGB termasuk kadar pembiayaan istimewa, proses kelulusan pantas serta penyelesaian pembiayaan hijau dan khidmat nasihat bagi mendapatkan pensijilan projek hijau.

 

Kerjasama lima tahun itu dijangka menjadi pemangkin utama pembangunan mampan di selatan tanah air khususnya dalam menjayakan inisiatif JS-SEZ, sekali gus menarik lebih banyak pelaburan rentas sempadan antara Malaysia dan Singapura.

 

Majlis menandatangani MOC itu diadakan bersempena majlis pecah tanah Calia Residences by PGB di Danga Bay, Johor Bahru dan dirasmikan oleh Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Haffiz Ahmad, disertai tetamu kehormat lain termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kelestarian Johor, Fayzul Datuk Omar, serta Pengarah Eksekutif dan Pengurus Kawasan, Pusat Kawasan Selatan UOB Malaysia, Goh Boon Siang.

 

“Kerjasama kami dengan UOB Malaysia melebihi satu perkongsian perbankan, ia adalah satu perkongsian visi untuk membina komuniti lestari yang mengimbangi pembangunan dan tanggungjawab sosial,” kata Pengerusi Eksekutif PGB, Edwin Tan Pei Seng, dalam kenyataannya hari ini.

 

Beliau berkata, kerjasama itu menunjukkan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam mempromosikan pertumbuhan bertanggungjawab serta menyokong perubahan Johor ke arah pusat pelaburan mampan di bawah JS-SEZ.

 

Tambah Pei Seng, Calia Residences by PGB merupakan simbol kepada aspirasi kumpulan dalam pembangunan kediaman moden dan mesra alam.

 

“Calia Residences menggambarkan aspirasi kami untuk membina kediaman moden, selesa didiami dan mampan. Dengan kadar pengambilan 90% bagi Menara A, kami berbesar hati untuk membuka pendaftaran bagi Menara B,” katanya.

 

Terletak di pesisir strategik Danga Bay, pembangunan pegangan bebas seluas 3.62 ekar itu menampilkan dua menara setinggi 36 tingkat merangkumi 1,274 unit kediaman dari satu hingga tiga bilik tidur, termasuk unit susun atur kunci berganda.

 

Pembangunan tersebut menyasarkan Pensijilan GreenRE Gold, dengan ciri reka bentuk cekap tenaga, kemudahan pengecasan EV, bahan binaan mesra alam dan kelengkapan elektrik bertaraf lima bintang. 

 

Ia turut menawarkan 28 kemudahan gaya hidup seperti ruang kerja bersama, zon kesihatan, gelanggang pickleball, kabana dan fasiliti mesra keluarga.

 

Menurut PGB, kerjasama strategik bersama UOB Malaysia itu turut selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang memberi tumpuan kepada transformasi ekonomi hijau dan pembangunan mampan.

 

“Melalui kerjasama ini, kami yakin dapat membangunkan projek-projek yang bukan sahaja bernilai komersial tetapi turut menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan kelestarian alam sekitar,” kata Pei Seng lagi. - DagangNews.com