BANGI 23 Jun – Desatera Sdn Bhd memperkenalkan inisiatif Bufet RM10 Dapur Brahim's di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi menyediakan pilihan hidangan berkualiti pada harga mampu milik.
Langkah itu merupakan sebahagian daripada strategi syarikat untuk memperkukuh segmen komersialnya, secara layan diri dengan beroperasi setiap Isnin hingga Jumaat bermula 11 pagi sehingga habis.
Ketua Pegawai Eksekutif Desatera, Lt Kol (K) Datuk Paduka Feizal Nor Nurbi, inisiatif julung kali itu diadakan di kafeteria Randau Rasa, dengan turut dibuka kepada orang awam dari kawasan sekitar kampus.

"Inisiatif khusus yang bertemakan 'Cedok puas-puas, bayar RM10 je!' itu diperkenalkan bagi membantu pelajar, kakitangan universiti dan komuniti setempat mendepani cabaran kos sara hidup tinggi," jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program itu dengan Pengarah Eksekutif Kumpulan Dewina Holdings Sdn Bhd, Ahmad Fahimi Ibrahim dan Pengarah Urusan Kumpulan Dewina, Nur Fatin Ibrahim.
Lebih 30 hidangan ditawarkan termasuk ayam masak sambal, daging tetel asam pedas, ikan kembung masak kari, sayur-sayuran, dan aneka sambal yang disediakan mengikut piawaian katering industri.

Feizal dalam pada itu menambah, idea asal Bufet RM10 Dapur Brahims's itu dicetuskan oleh Pengerusi Kumpulan, Datuk Seri Ibrahim Ahmad, yang prihatin terhadap isu pelajar kurang kemampuan untuk makan.
“Kami memahami ramai yang mencari hidangan enak dan berkualiti pada harga murah. Melalui usaha ini, kami menawarkan pelbagai pilihan menu tempatan tanpa mengabaikan aspek nilai nutrisi,” tegasnya.
Syarikat di bawah Kumpulan Brahim's itu juga menjalankan tinjauan pasaran di beberapa lokasi seperti Sungai Buloh dan Subang Jaya sebelum menetapkan harga RM10 yang dianggap sebagai kompetitif.

Ujarnya, ia dijangka dapat ditawarkan secara tetap sehingga hujung tahun ini, namun Desatera tidak menolak untuk melanjutkan lagi skim tersebut sekiranya kos bahan mentah adalah stabil pada tahun depan.
Mengulas mengenai hala tuju perniagaan, Feizal menjelaskan syarikat kini memberikan tumpuan serius kepada segmen komersial kerana berpotensi luas berbanding kontrak kerajaan yang ada had tertentu.
"Selain katering, kami juga memiliki kepakaran dalam pembuatan makanan sedia dimakan (RTE), serta teknologi penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang kukuh untuk bersaing dalam pasaran," tambahnya.

Ditanya keupayaan dapur Desatera ketika ini, beliau menyatakan syarikat itu berupaya menyediakan sehingga 3,500 hidangan dalam satu sesi pemprosesan malah pernah mencecah 7,000 menu sehari.
Kejayaan tersebut ujar Feizal, dicatatkan menerusi satu program anjuran Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya akhir tahun lalu untuk penyediaan makanan tengah hari dan malam pada hari yang sama.
Di samping itu jelasnya, program TapaOTW yang diperkenalkan pada 11 Jun 2026 turut mendapat sambutan amat baik dengan lima pilihan menu ditawarkan pada harga hanya RM10.50 bagi setiap pek.

"Kami berjaya menerima satu tempahan tetap daripada sebuah kilang besar di Bandar Baru Bangi untuk kira-kira ratusan kakitangannya, selain ada beberapa lagi melibatkan puluhan pekerja," kata beliau.
Pada masa sama tambah Feizal, ada beberapa pengusaha penyajian makanan yang berhasrat menjalinkan kerjasama dengan syarikat tersebut untuk pembekalan menu dalam program berkenaan secara berkala.
Selain itu, Desatera juga terlibat dalam projek sekuriti makanan di tanah seluas 100 ekar di Gemas, Negeri Sembilan dengan pelbagai tanaman bagi jaminan pembekalan konsisten. - DagangNews.com








