KUALA LUMPUR 9 Sept – Paragon Globe Berhad mencipta sejarah baharu apabila melancarkan asrama pekerja yang pertama di Johor dengan menerima Pensijilan Sementara GreenRE Tahap Perak.
Kejayaan projek yang dibangunkan anak syarikatnya, Paragon Bizhub Sdn Bhd, sekali gus menandakan komitmen syarikat terhadap pembangunan mampan dan penyediaan kediaman pekerja berkualiti tinggi.
Projek dikenali sebagai PGB Hostel itu terletak di Taman Perindustrian Pekan Nanas, Pontian dan dibina khas bagi memenuhi permintaan kediaman pekerja industri yang meningkat di negeri tersebut.
"Fasa pertama melibatkan dua blok lima tingkat dengan 105 unit apartmen, direka untuk menempatkan 1,575 pekerja pada kadar 15 orang setiap unit," kata Paragon Globe dalam satu kenyataan hari ini.
Setelah Fasa 2 siap sepenuhnya, kapasiti keseluruhan dijangka mencecah seramai 3,600 pekerja, menjadikannya salah satu fasiliti penginapan pekerja paling moden dan terbesar di Asia Tenggara.
PGB Hostel turut dilengkapi kemudahan sokongan seperti kantin, kawasan rekreasi, dan pengurusan di tapak, dengan keluasan keseluruhan 32,237 meter persegi di atas tanah pegangan bebas 1.7 hektar.
Majlis pelancaran projek asrama berkenaan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor, Lee Ting Han.
Turut hadir bagi menyaksikan acara perasmian itu ialah ADUN Pekan Nanas, Tan Eng Meng; Pegawai Daerah Pontian, Kamalludin Jamal serta Konsul Jeneral Singapura di Johor Bahru, Ng Kuan Khai.
Menurut Pengerusi Eksekutif Paragon Globe, Datuk Seri Edwin Tan Pei Seng, projek ini mencatatkan kejayaan tersendiri sebagai asrama pekerja yang terawal di Johor meraih pengiktirafan berkenaan.
Pensijilan berkenaan tambah beliau, meliputi amalan pembangunan hijau dalam aspek kecekapan tenaga, penjimatan air, kualiti udara dalaman dan penggunaan bahan binaan yang lebih mampan.
“Asrama ini bukan sekadar tempat kediaman tetapi satu pencapaian penting buat kami dan Johor. Inisiatif ini turut sejajar dengan strategi jangka panjang kumpulan ini sendiri," katanya.
Antaranya jelas Edwin, kemudahan itu menyediakan rumusan kediaman pekerja secara moden dan pada masa sama menyumbang agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta kelestarian negeri.
Ia menarik penyewa termasuk Shimano Components (Malaysia) Sdn Bhd, Sunlig Sdn Bhd, Senku Production Engineering, Inmost Industries, Allgood Enterprise dan CCL Impex (Malaysia) Sdn Bhd.
Perkembangan itu kata beliau, menunjukkan keyakinan tinggi pihak industri terhadap projek ini dan permintaan terhadap penginapan pekerja berkualiti dijangka terus melonjak dalam masa terdekat.
Tambahnya, ia selari pertumbuhan sektor perindustrian Johor yang rancak, didorong pemangkin utama seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan projek Sistem Transit Rapid (RTS Link).
“Kami bukan sahaja menyediakan kemudahan tempat tinggal berkualiti, malah mencipta aliran pendapatan berterusan bagi syarikat apabila pekerja mereka menginap di sini,” tambah Edwin.
Dengan pelancaran PGB Hostel, Paragon Globe membuktikan kediaman pekerja boleh dibangunkan secara lestari, tanpa mengabaikan isu keselesaan, keselamatan dan piawaian. - DagangNews.com








