Paragon Globe jual tanah 5.45 hektar di Johor Bahru bernilai RM64.47 juta kepada GSP Automotive | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Paragon Globe jual tanah 5.45 hektar di Johor Bahru bernilai RM64.47 juta kepada GSP Automotive

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 DisParagon Globe Berhad menjual sebidang tanah berstatus pegangan bebas seluas 5.45 hektar di Mukim Tanjung Kupang, Daerah Johor Bahru, Johor, dengan harga tunai RM64.47 juta.


Kumpulan itu berkata, pelupusan tersebut dilaksanakan melalui anak syarikat miliknya, PGB Landmark Sdn Bhd yang menandatangani perjanjian jual beli (SPA) dengan GSP Automotive Malaysia Sdn Bhd.
 

Tanah tersebut dijual secara 'seperti keadaan seadanya' dengan hak milik kosong dan tertakluk kepada syarat penggunaan tanah sedia ada serta pindaan syarat yang dipersetujui pihak berkenaan.


"Transaksi ini tidak akan menjadikan syarikat sebagai syarikat tunai atau menjejaskan pematuhan syarat Bursa Malaysia," kata Paragon Globe dalam satu maklumannya kepada pihak bursa hari ini.


Jadual pembayaran termasuk deposit RM6.45 juta dan baki RM58.02 juta dibayar dalam tempoh tiga bulan dari tarikh tidak bersyarat dengan faedah 8% setahun dikenakan atas sebarang kelewatan.


Sementara itu, urusan penyerahan tanah kepada GSP pula jelas kumpulan berkenaan, akan dilaksanakan dalam masa tiga hari bekerja selepas segala pembayaran penuh dilengkapkan oleh pembeli tersebut.


Hasil daripada penjualan ini jelasnya, dijangka dapat digunakan bagi bayaran kos transaksi yang sebanyak RM9.37 juta, pengurangan pinjaman bank (RM35.46 juta) dan modal kerja (RM19.64 juta).


"Kumpulan ini menyatakan pertimbangan harga jualan adalah berasaskan kaedah 'pembeli dan penjual bersetuju' dengan mengambil kira nilai pasaran semasa tanah yang berdekatan," kata Paragon Globe.


Aset berkenaan tambahnya, terletak di Gerbang Nusajaya, Iskandar Puteri, mudah diakses dari arah Johor Bahru, Pasir Gudang dan Singapura melalui laluan Lebuh Raya Pantai Iskandar dan Link Kedua.


Kawasan tanah tersebut juga jelas kumpulan itu, dikelilingi beberapa taman perindustrian moden seperti Nusajaya Tech Park dan i-TechValley dalam kluster industri selatan di negeri berkenaan.


Paragon Globe menegaskan tiada liabiliti tambahan akan ditanggung oleh syarikat selepas penjualan dan tiada jaminan lain diberi kepada pembeli selain daripada termaktub dalam SPA. - DagangNews.com