Pantech sasar tingkatkan pengeluaran keluli melalui pelaburan automasi pintar – Phillip Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pantech sasar tingkatkan pengeluaran keluli melalui pelaburan automasi pintar – Phillip Capital

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 1 Okt – Keupayaan operasi yang cekap dan pelaburan berterusan dalam automasi pintar menjadikan Pantech Group Holdings Berhad sudah bersedia untuk memacu pertumbuhan kukuh.


Menurut Phillip Capital, syarikat berkenaan dijangka menyaksikan perkembangan yang lebih positif dalam sektor pembuatan, di sebalik trend persekitaran pasaran global semakin mencabar ketika ini.


Ia mengekalkan saranan 'beli' terhadap kumpulan ini dengan harga sasaran 89 sen, bersandarkan kepada prospek pertumbuhan mampan, peningkatan kecekapan margin dan dividen menarik sebanyak 9%.


"Hasil lawatan ke kilang keluli karbon Pantech di Meru, Klang, kami menilai kemudahan tersebut sudah beroperasi pada tahap penggunaan kapasiti 90%," kata firma penyelidikan itu dalam notanya


Dengan kapasiti tahunan 21,790 tan paip jenis butt weld, pelaburan terkini pada Ogos 2025 itu merangkumi dua mesin laser pemotong paip dan plat, yang setiap satu menggantikan tiga mesin konvensional.


Phillip Capital menambah, penggunaan teknologi ini berjaya mengurangkan keperluan tenaga kerja, meminimumkan pembaziran bahan dan meningkatkan kelajuan pemprosesan serta kadar hasil produk.


Strategi automasi pintar ini juga katanya, turut membantu Pantech menangani peningkatan kos buruh termasuk pelaksanaan mandatori gaji minimum dan caruman wajib KWSP wajib bagi pekerja asing.


"Walaupun masih berdepan dengan isu peningkatan tarif Amerika Syarikat (AS), permintaan eksport terutama dari pasaran AS sendiri dan Eropah adalah masih kekal kukuh," tambah firma berkenaan.


Produk dikeluarkan Pantech jelas Phillip Capital, sebenarnya terus mendapat banyak manfaat secara positif daripada pelbagai duti antilambakan yang lebih rendah berbanding pengeluar dari China.


Syarikat itu juga melihat peluang pertumbuhan besar di Brazil, susulan pengenaan duti yang sama terhadap produk keluli dari China, sekali gus membuka laluan baharu kepada perluasan pasaran serantau.


Kumpulan itu jelasnya, menjadi pengeluar tempatan tunggal bagi produk High Frequency Induction (HFI) long bend dalam saiz 2 hingga 48 inci, dan pembekal paip dimiliki tempatan sepenuhnya.


"Selain itu, ia memiliki pensijilan antarabangsa seperti Pressure Equipment Directive (PED) dan Canadian Registration Number (CRN), yang meningkatkan kredibiliti dan kebolehpasaran," katanya.


Selain itu tambah Phillip Capital, pelan tawaran awam permulaan (IPO) anak syarikat Pantech Global dijangka mempercepatkan usaha pelaksanaan automasi dan lebih kepada teknologi moden.


Di Johor, syarikat itu kini dalam fasa rekaan bagi barisan pemetik keluli tahan karat baharu, yang dijangka mengurangkan bilangan tenaga kerja daripada seramai 35 kepada hanya 5 orang diperlukan.


Firma itu turut menjangkakan keuntungan Pantech pada FY26 Pantech meningkat sebanyak 12% tahun ke tahun (YoY), disokong oleh pertumbuhan dalam segmen pembuatan dan pengembangan pelanggan baharu.


"Meskipun segmen perdagangan berdepan kelembapan domestik sementara, syarikat ini kekal sebagai peneraju pasaran tempatan dalam bekalan paip, injap dan kelengkapan (PVF)," kata Phillip Capital.


Dengan kedudukan tunai bersih yang kukuh, kumpulan itu dijangka mengekalkan dividen tahunan 6 sen sesaham, serta memberikan pulangan dividen menarik sebanyak 9%, dengan stabil sehingga FY28.


Saham Pantech kini diniagakan jauh di bawah penilaian sektor, menjadikannya pelaburan menarik dalam jangka sederhana di sebalik pendedahan kepada banyak risiko luaran. - DagangNews.com