Pantech peroleh tanah industri daripada Uptown Promenade di Klang bernilai RM29 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pantech peroleh tanah industri daripada Uptown Promenade di Klang bernilai RM29 juta

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 15 Ogos — Pantech Global Berhad, menerusi anak syarikatnya, Pantech Steel Industries Sdn Bhd (PSI) memperoleh sebidang tanah pegangan bebas di Klang, Selangor yang bernilai RM29 juta.

 

Kumpulan itu berkata, hartanah kosong berkenaan diperoleh daripada Uptown Promenade Sdn Bhd dan terletak di Lot 169727, PT 87823 dalam Mukim Kapar dengan berkeluasan kira-kira hampir dua hektar.

 

Tambah kumpulan itu, perjanjian jual beli (SPA) untuk cadangan pengambilalihan tanah tersebut telah ditandatangani pada 15 Ogos 2025 dengan pertimbangan tertakluk kepada terma dan syarat tertentu.

 

"Lokasi ini terletak strategik di Jalan Haji Abdul Manan berdekatan dengan Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) antara Bandar Bukit Raja dan Meru," kata Pantech dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Anak syarikat tersebut tambahnya, berhasrat untuk membina ibu pejabat korporat dan kilang baharu yang kedua di tanah berstatus perindustrian itu serta projek dijangka dapat disiapkan menjelang 2028.

 

Langkah itu kata kumpulan tersebut, selaras dengan pengembangan operasi dan meluaskan lagi rangkaian kelengkapan produk paip kimpalan punggung keluli karbon bergred WPB dari kilangnya yang sedia ada.

 

Pantech bercadang untuk menghasilkan pelbagai gred lain di Kilang Klang 2 ini kerana fasiliti sekarang tiada ruang mencukupi bagi menampung barisan pengeluaran baharu dikhususkan model berbeza.

 

"Kami juga akan membina gudang penyimpanan inventori bahan mentah, kerja dalam proses, barang siap, pembungkusan dan pelabelan untuk memenuhi tempahan serta menyokong rangkaian produk," katanya.

 

Usaha itu bagi memastikan perbezaan jelas mengenai pengeluaran gred berbeza untuk kelengkapan paip kimpalan namun membatalkan rancangan asal pembinaan sebuah asrama pekerja dalam tanah tersebut.

 

Sehubungan itu, Pantech merancang untuk membiayai cadangan pengambilalihan hartanah baharu ini sama ada terus melalui dana yang dijana syarikat secara dalaman atau pinjaman bank sekiranya diperlukan.

 

SPA tersebut dijangka tidak ada sebarang kesan ke atas modal saham terbitan dan pegangan saham pemegang saham besar kerana tiada saham baharu diterbitkan untuk tujuan ini. - DagangNews.com