Pansar menang kontrak RM234.9 juta naik taraf loji rawatan air di Saratok, Sarawak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pansar menang kontrak RM234.9 juta naik taraf loji rawatan air di Saratok, Sarawak

Gambar/Simon Ting Google Places
Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 6 Mei - Pansar Berhad meraih kontrak bernilai RM234.89 juta daripada Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak bagi melaksanakan projek naik taraf Loji Rawatan Air Kaki Wong di Saratok, Bahagian Betong.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata kontrak berkenaan dianugerahkan kepada anak syarikat milik penuhnya, Perbena Emas Sdn Bhd melalui proses tender.

 

Skop projek melibatkan pembinaan loji rawatan air baharu berkapasiti 30 juta liter sehari (MLD) di tapak sedia ada, selain kemudahan pengambilan air mentah serta dua stesen pam penggalak baharu.

 

Turut termasuk dalam skop kerja ialah pemasangan paip air, pembinaan takungan, bangunan kimia dan kemudahan sokongan, kuarters kakitangan serta kerja-kerja naik taraf dan penambahbaikan fasiliti sedia ada seperti bangunan pentadbiran, bangunan loji dan rumah pam.

 

Menurut Pansar, projek itu dijadualkan bermula pada Jun 2026 dan dijangka siap dalam tempoh 30 bulan.

 

“Kumpulan menjangkakan kontrak ini akan menyumbang secara positif kepada pendapatan serta aset bersih sepanjang tempoh pelaksanaan projek,” katanya.

 

Dalam pada itu, syarikat mengesahkan tiada pengarah, pemegang saham utama atau individu berkaitan mempunyai sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak tersebut.

 

Perolehan projek ini dilihat memperkukuh buku tempahan Pansar, sekali gus meningkatkan visibiliti pendapatan kumpulan dalam segmen pembinaan infrastruktur air, sejajar dengan keperluan berterusan terhadap peningkatan kemudahan bekalan air di Sarawak. - DagangNews.com