KUALA LUMPUR 27 Jan - Pengambilalihan syarikat-syarikat China yang berhasrat untuk menarik diri atau mengurangkan operasi mereka di negara ini merupakan satu langkah yang boleh diambil bagi mengurangkan kesan ekonomi akibat tarif yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, kata pakar.
Langkah-langkah lain termasuk mempelbagaikan rantaian bekalan sambil memanfaatkan kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 untuk mempromosikan negara sebagai pintu masuk ke pasaran serantau yang semakin berkembang, terutamanya bagi tenaga boleh diperbaharui dan teknologi hijau.
Prof. Dr. Yeah Kim Leng, yang juga ahli panel penasihat khas Menteri Kewangan berkata, kedua-dua sektor swasta dan kerajaan memainkan peranan untuk mengimbangi kesan penurunan eksport ke AS akibat tarif tersebut.
"Satu daripada caranya adalah menerusi penggabungan atau pengambilalihan (M&A) oleh syarikat Malaysia terhadap syarikat asing yang terjejas akibat tarif.
"Jika ada pembeli dan penjual yang bersedia, mereka boleh melakukannya. Namun, penting untuk memastikan pengambilalihan tersebut tidak akan dikenakan tarif," katanya ketika dihubungi oleh The Star.
Selain langkah drastik itu, Prof. Yeah berkata, syarikat tempatan juga perlu melihat pasaran lain untuk eksport sebagai persediaan sekiranya pasaran AS ditutup akibat tarif tersebut.
"Syarikat perlu mencari pasaran baharu dan bukan konvensional seperti dari negara-negara Global South.
"Kerajaan pula perlu menandatangani perjanjian perdagangan untuk membolehkan syarikat-syarikat ini mengeksport produk mereka ke negara-negara tersebut bagi mengurangkan kesan penurunan eksport ke AS jika ia berlaku," jelasnya.
Prof. Yeah yang juga felo kanan dan Pengarah Program Kajian Ekonomi di Jeffrey Cheah Institute on South-East Asia, Sunway University berkata, kerajaan boleh menawarkan insentif tidak langsung untuk mempelbagaikan rantaian bekalan, terutamanya yang melibatkan perusahaan kecil & sederhana (PKS) tempatan.
Tambah beliau, sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia boleh menarik pelabur untuk memudahkan akses ke pasaran serantau dengan memanfaatkan perjanjian perdagangan bebas ASEAN.
Katanya, jika kesan tarif terhadap syarikat tempatan terlalu teruk, campur tangan kerajaan diperlukan seperti yang dilakukan semasa pandemik Covid-19.
"Kerajaan menyediakan sokongan seperti yang dilakukan semasa pandemik seperti bantuan kewangan seperti pinjaman atau melalui dasar-dasar yang melibatkan perolehan," ujarnya.
Beberapa pengeluar panel solar milik China dilapor mengurangkan atau menghentikan operasi mereka berikutan penurunan keuntungan akibat tarif AS tahun lepas dengan tarif lebih tinggi dijangka dikenakan.
Pada bulan Disember 2024, pentadbiran bekas Presiden AS, Joe Biden mengumumkan kenaikan kadar 25% untuk panel solar dan polysilicon serta kenaikan 50% dalam duti produk tungsten, yang mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2025.
Khamis lalu, Trump mengulangi ancaman terkini untuk mengenakan tarif ke atas Kesatuan Eropah termasuk duti hukuman 10% ke atas import China.
Malaysia merupakan hab utama bagi pembuatan panel solar di rantau ini dengan eksport berjumlah kira-kira RM7.88 bilion untuk sembilan bulan pertama 2024, dengan sebahagian besar pengeluaran dilakukan oleh syarikat milik China untuk dieksport ke AS.
Bendahari Dewan Perdagangan dan Industri Cina Malaysia, Datuk Koong Lin Loong berkata, selain penggabungan dan pengambilalihan oleh syarikat swasta, Malaysia juga perlu melihat kepada pakatan strategik dengan pemain global lain dan bukan hanya bergantung kepada pelaburan dari China dalam produk seperti panel solar.
"Kita tidak boleh hilang kedudukan sebagai satu daripada pengeksport terbesar panel solar di dunia.
"Kerajaan perlu melakukan sesuatu untuk membantu dan tidak hanya menyerahkan kepada syarikat swasta," katanya.
Antara langkah yang dicadangkan katanya, adalah untuk menguasai sumber bahan mentah dalam rantaian bekalan kerana ia tidak datang sepenuhnya dari satu negara seperti China.
"Ini termasuk pemindahan teknologi dari pengeluar China kepada syarikat tempatan. Satu cara untuk mengelak tarif adalah dengan cara syarikat tempatan menjadi pengeluar sendiri," katanya.
Beliau juga berkata, Malaysia perlu mencari pasaran alternatif untuk produk seperti panel solar yang terjejas oleh tarif seperti Kesatuan Eropah, ASEAN dan Asia Barat.
Profesor ekonomi dari Universiti Antarabangsa Unitar, Anthony Dass pula mencadangkan agar kerajaan memperluaskan Tarif Galakan Tenaga dan Pengukuran Tenaga Bersih untuk mewujudkan permintaan tempatan bagi panel solar sebagai cara untuk mengurangkan kesan penurunan eksport ke AS akibat tarif.
"Kita juga boleh mengadakan rundingan perdagangan dan pengecualian dengan AS berikutan sumbangan Malaysia dalam rantaian nilai tenaga boleh diperbaharui," katanya.
Pengarah Majlis Perniagaan Cina Malaysia, Datuk Beh Hang Kong berkata, pengeluar tempatan masih boleh membawa kes kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia dengan bantuan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
Katanya, tindakan itu akan dibuat terhadap duti anti-lambakan selagi pengeluar tempatan boleh membuktikan bahawa bahan mentah yang digunakan untuk pengeluaran diperoleh dari dalam negara.
Beliau mengulangi pendapat yang sama untuk memfokuskan perhatian kepada pasaran lain selain bergantung kepada AS. - DagangNews.com








