Padini kaut untung bersih RM169.1 juta pada FY25 disokong margin kukuh, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Padini kaut untung bersih RM169.1 juta pada FY25 disokong margin kukuh, kata penganalisis

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 28 OgosPadini Holdings Berhad mencatat keuntungan bersih RM169.1 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (FY25), meningkat 10.3% berbanding RM153.3 juta pada FY24.

 

MBSB Research berkata, pertambahan tersebut disokong oleh aktiviti perluasan margin keuntungan syarikat berkenaan walaupun momentum jualan dilihat agak sederhana dalam tempoh suku keempat.


Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran sesahamnya tidak berubah RM2.49, berasaskan nisbah harga/pendapatan (PER) 12.6 kali ke atas unjuran FY26 sebanyak 19.7 sen.


"Bagaimanapun pendapatan pada suku keempat (4QFY25) Padini sebenarnya mencatatkan kemerosotan 37.4% suku ke suku (QoQ) kepada sebanyak RM392.1 juta," kata firma tersebut dalam nota kajiannya.


Situasi itu berbeza paras tinggi pada suku ketiga yang dipacu oleh musim perayaan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri manakala untung bersih teras juga susut ketara 81.2% kepada RM13.9 juta.


Keadaan lemah berkenaan kata MBSB Research, disebabkan kesan daripada kelemahan trafik di semua kedainya dan saiz belian yang mengecil dalam tempoh tersebut tanpa dorongan sebarang perayaan.


Dari segi tahunan pula tambah firma berkenaan, hasil pada 4QFY25 menurun sebanyak 13.9% tahun ke tahun (YoY), selari dengan pertumbuhan jualan kedai sama yang juga didapati lemah kira-kira 16.6%.


"Namun secara keseluruhan, pendapatan setahun meningkat 1.0% kepada RM1.94 bilion, disokong oleh strategi penawaran nilai untuk wang yang konsisten di seluruh rangkaian runcit Padini," katanya.


MBSB Research berkata, meskipun jualan sepanjang suku keempat adalah lemah, syarikat tersebut masih lagi berjaya meningkatkan margin kasar tahunan kepada 38.9% berbanding 36.2% pada FY24.


Situasi berkenaan mencerminkan pengurusan kos lebih ketat dan kecekapan operasi dipertingkatkan, manakala margin kasar bagi 4QFY25 menyusut kepada 37.2% berbanding 41.0% pada suku sebelumnya.


Sementara itu, Maybank Investment Bank (Maybank IB) pula menyifatkan kemerosotan itu berpunca daripada asas jualan lebih tinggi pada suku sama tahun lalu yang merangkumi musim perayaan.


"Jualan kedai sama turut jatuh 17% YoY, mencerminkan permintaan lemah pengguna manakala untung kasar dipercayai didorong oleh penjimatan kos tukaran asing susulan pengukuhan ringgit," katanya.


Ini tambah firma itu, memandangkan sebahagian besar pakaian Padini diimport dari China dan susulan prestasi suku yang lemah, Maybank IB menurunkan unjuran pendapatan kumpulan untuk FY26 dan FY27.


Ia masing-masing sebanyak 7% dan 6%, serta memperkenalkan unjuran FY28 dengan firma tersebut masih lagi menjangkakan perbelanjaan pengguna kekal berhati-hati dalam tempoh yang terdekat.


Namun begitu, margin untung kasar dijangka kekal stabil, didorong oleh kadar tukaran ringgit yang lebih baik berbanding yuan China, sekali gus membantu mengimbangi tekanan kos jualan syarikat itu.


“Walaupun jualan runcit mungkin lembap, kelebihan kadar tukaran dapat menyokong margin Padini dalam tempoh sederhana, tetapi risiko kos perlu dipantau rapat,” jelas Maybank IB. - DagangNews.com