PAC siasat pengurusan lapangan terbang, bukan cuma isu jualan saham MAHB - Mas Ermieyati | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PAC siasat pengurusan lapangan terbang, bukan cuma isu jualan saham MAHB - Mas Ermieyati

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 6 Feb - Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, prosiding mereka tidak terhad kepada isu perjanjian penswastaan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

 

Sehubungan itu, PAC ujarnya, turut akan menangani pelbagai isu lain seperti kenaikan harga tiket ke Sarawak dan Sabah, serta kelewatan penggantian aerotrain di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

 

"Saya ingin menjelaskan kepada (Menteri Pengangkutan) Anthony Loke bahawa tajuk prosiding ialah 'pengurusan lapangan terbang awam', dan Kementerian Pengangkutan adalah pemegang kepentingan utama," katanya.

 

Ia sebagai reaksi Ahli Parlimen Seremban itu mempersoalkan tindakan PAC yang memanggilnya menghadap berhubung dakwaan kerugian RM500 juta dalam urus niaga saham MAHB oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

 

Menteri itu mendakwa yang PAC mesti mengikut saluran betul apabila mahu mendapatkan penjelasan daripada kementeriannya dan menekankan bahawa beliau atau kementerian tidak pun terlibat dalam amalan korporat MAHB.

 

Mas Ermieyati, dalam kenyataannya itu, bertanya sama ada Loke tidak mahu memberi maklum balas atau pandangan untuk menambah baik pengurusan lapangan terbang awam negara supaya dimasukkan dalam laporan PAC.

 

"Jika dia enggan, itu adalah haknya, tetapi sejarah akan mencatatkan bahawa seorang menteri Kabinet enggan menghadap PAC untuk memberi pandangan dan penjelasan yang memberi manfaat kepada rakyat dan negara," katanya.

 

Tambah beliau, PAC berhasrat memastikan laporan mengenai isu ini adalah menyeluruh, tidak berat sebelah dan dapat dijadikan rujukan semua pihak berkaitan pada masa depan demi kepentingan seluruh rakyat dan negara.

 

Bahkan ujar Mas Ermieyati, sebagai pengerusi PAC, beliau cuma mematuhi keputusan konsensus daripada semua ahli apabila membuat keputusan bagi memulakan prosiding atau memanggil saksi untuk hadir memberi keterangan.

 

Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata bahawa jawatankuasa tersebut tidak menolak kemungkinan untuk memanggil beberapa individu penting termasuk Menteri Pengangkutan sendiri berhubung dakwaan kerugian RM500 juta itu.

 

Mas Ermieyati berkata Loke dan semua individu yang berkaitan akan dipanggil PAC untuk memberikan penjelasan secara berperingkat, dengan prosiding itu dijangka dapat bermula paling awal sekitar minggu kedua pada bulan ini. - DagangNews.com