Oxford Innotech manfaat trend automasi pembuatan, disokong kerjasama strategik Jaka Robotics | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Oxford Innotech manfaat trend automasi pembuatan, disokong kerjasama strategik Jaka Robotics

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Penyedia rumusan kejuruteraan bersepadu, Oxford Innotech Berhad (OXB), menyasar untuk meraih manfaat daripada peningkatan penggunaan automasi dalam sektor pembuatan global.

 

Kumpulan tersebut berkata, usaha itu didorong oleh permintaan yang semakin meningkat di pasaran terhadap kecekapan operasi, kualiti konsisten dan daya tahan rantaian pengeluaran.

 

OXB yang disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 29 Julai 2025, menawarkan rumusan kejuruteraan bersepadu, pemasangan mekanikal serta rumusan untuk segmen automasi dan robotik.

 

"Kami bersedia mereka bentuk dan membangunkan peralatan automatik sendiri, sistem barisan pengeluaran, sistem kilang pintar serta perkhidmatan sokongan teknikal," katanya dalam satu kenyataan.

 

Segmen-segmen berkenaan tambahnya, amat berpotensi positif kerana ia memberi tumpuan kepada pelanggan dalam industri semikonduktor dan elektrik & elektronik (E&E).

 

Sementara itu, Pengarah Urusan OXB, Ng Thean Gin berkata, peralihan kepada Revolusi Industri 4.0 memerlukan penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), analitik data raya, pengkomputeran awan dan Internet Industri untuk Segala-Galanya (IIoT).

 

“OXB bekerjasama dengan rakan strategik yang terbukti dalam membangunkan rumusan automasi pintar, antaranya Jaka Robotics Co Ltd yang berpangkalan di Shanghai, China,” katanya dalam kenyataan.

 

Firma itu merupakan pemain global dalam bidang robotik kolaboratif (cobots) dengan kehadiran di China, Hong Kong, Jepun, Singapura, Malaysia, Jerman dan Amerika Syarikat (AS).

 

Sistem cobots dibangunkan itu bertujuan meningkatkan kapasiti dan kecekapan pengeluaran, mengurangkan kebergantungan buruh, memperbaiki keselamatan pekerja serta menangani isu kadar tinggi keluar masuk pekerja.


Setakat ini, lebih 10,000 cobots keluaran Jaka telah digunakan di lebih 100 negara melibatkan pelbagai sektor seperti automotif, E&E, semikonduktor, tenaga baharu dan pemprosesan makanan.

 

OXB kini sedang bekerjasama dengan Jaka Robotics dalam satu projek untuk pengeluar kontrak multinasional berpangkalan di AS yang beroperasi di Pulau Pinang.

 

Projek ini bertujuan mengautomasi proses pemasangan bagi mengurangkan pergantungan kepada operator manual serta meningkatkan konsistensi proses.

 

“Ini merupakan fasa pertama dan beberapa fasa tambahan sedang dirancang. Dengan tekanan kos, kami yakin trend automasi akan terus berkembang dan membuka banyak peluang kepada segmen automasi dan robotik kami,” jelas Thean Gin.

 

Dalam pada itu, OXB juga sedang dalam rundingan bagi membida projek berskala lebih besar dalam segmen komponen kejuruteraan berketepatan tinggi dan rumusan pemasangan mekanikal.

 

“Kami sedang berbincang dengan pelanggan sedia ada dan menjangkakan perkembangan positif. Tahun fiskal hadapan diramal sangat sibuk dan kami kekal yakin terhadap prospek jangka panjang syarikat,” katanya. - DagangNews.com