OSK catat pinjaman terkumpul RM2.1 bilion menerusi dua anak syarikat bagi 4QFY25 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

OSK catat pinjaman terkumpul RM2.1 bilion menerusi dua anak syarikat bagi 4QFY25

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 12 JanOSK Holdings Berhad mencatatkan jumlah pinjaman terkumpul keseluruhan sebanyak RM2.1 bilion bagi tempoh suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.


Pencapaian tersebut diterajui oleh anak syarikatnya, OSK Capital Sdn Bhd yang menyumbang RM1.55 bilion, manakala operasi OSK Capital (A) Pty Ltd di Australia pula kira-kira RM550.08 juta.


Berdasarkan makluman kepada Bursa Malaysia, OSK Capital menjana RM1.35 bilion melibatkan pinjaman kepada pelanggan korporat, manakala RM193.94 juta lagi merupakan pinjaman terhadap individu.


"Kesemua pinjaman ini dikategorikan sebagai pinjaman bercagar, sementara OSK Capital (A) pula merekodkan RM550.01 juta bagi kategori korporat dan hanya RM0.07 juta bagi individu," katanya. 


Tambah OSK, situasi pembiayaan di negara maju berkenaan sama seperti operasi anak syarikat domestik, apabila kesemua pinjaman tersebut juga dikenal pasti adalah berstatus bercagar.


Katanya, OSK Capital melaporkan baki bersih pinjaman dalam mungkir sebanyak RM105.33 juta, dengan nisbah berbanding jumlah pinjaman bersih bagi syarikat ini adalah pada kadar 0.069.


Sebaliknya, OSK Capital (A) pula jelas kumpulan berkenaan, menunjukkan prestasi kualiti aset yang sangat baik dengan merekodkan sifar pinjaman dalam mungkir bagi tempoh yang sama.


"Dari segi kedudukan pinjaman syarikat, laporan itu mendedahkan OSK Capital mencatatkan jumlah pinjaman sebanyak RM1,264.64 juta, manakala OSK Capital (A) kira-kira RM412.74 juta," katanya.


Makluman ini dikemukakan selaras dengan keperluan perenggan 8.23(2)(e) Keperluan Penyenaraian Bursa Malaysia, dan angka-angka dinyatakan adalah yang belum diaudit. - DagangNews.com