KUALA LUMPUR 24 Nov – Orkim Berhad diingatkan agar mengurangkan kebergantungan tinggi terhadap beberapa pelanggan utama selepas penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 9 Disember 2025.
Menurut Malacca Securities, antaranya kumpulan PETRONAS dan Shell, yang menyumbang sebahagian besar daripada pendapatan kumpulan perkapalan tempatan tersebut sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Perubahan keperluan kontrak, strategi perniagaan atau kedudukan kewangan pelanggan utama ini boleh memberi kesan material terhadap hasil masa depannya, meskipun hubungan jangka panjang terbina.
"Selain itu, kami turut menekankan beberapa risiko lain yang perlu diberi perhatian, termasuk keperluan pematuhan piawaian peraturan dan keselamatan yang ketat," jelas firma penyelidikan itu.
Orkim juga kata Malacca Securities, didapati terlalu bergantung kepada pembaharuan lesen operasi kritikal seperti Domestic Shipping Licence dan lesen PETRONAS bagi mengangkut produk petroleum.
Justeru tambahnya, kegagalan pemerolehan permit berkenaan dikhuatiri boleh menjejaskan aktiviti utama syarikat, di samping risiko pembaharuan kontrak jangka panjang yang boleh menjejaskan operasi.
Situasi berkenaan dibangkitkan firma tersebut memandangkan model perniagaan Orkim banyak bergantung kepada kontrak tertentu yang diketahui sebagai menampung 60 hingga 95% hasil tahunan selama ini.
"Walaupun armada 18 kapalnya kini berada pada kadar penggunaan tinggi, kontrak yang bakal tamat mencetuskan risiko dan boleh mempengaruhi kestabilan aliran tunainya," kata Malacca Securities.
Pada masa sama, firma berkenaan mendapati Orkim juga bergantung kepada kepakaran pengurusan kanan, dan kehilangan pegawai utama tanpa penggantian segera boleh menjejaskan kesinambungan operasi.
Menyentuh penyenaraian, ia menetapkan nilai saksama RM1.16 sesaham, iaitu potensi kenaikan 26.6% berbanding tawaran awam permulaan (IPO) hanya 92 sen, berdasarkan prospek FY26 sebanyak 9.7 sen.
Malacca Securities menyatakan, Orkim sebagai pengendali marin sejak 2007, mengekalkan hubungan kukuh selama 16 tahun dengan gergasi tenaga serta memegang 56% pasaran kapal berdaftar di Malaysia.
"Selain ia mengangkut 12% produk petroleum bertapis negara pada 2024, operasinya merangkumi 93 pelabuhan di Malaysia dan Asia, dengan kontrak jangka panjang bernilai RM614.2 juta," katanya.
Bagi FY24, hasilnya meningkat 4.6% kepada RM316.6 juta, manakala keuntungan bersih naik 14.6% kepada RM92.9 juta, dipacu kenaikan kadar sewaan harian (DCR) serta pemerolehan kontrak baharu .
Data namun menunjukkan penyusutan hasil dan Malacca Securities menjangka pertumbuhan sederhana dalam tiga tahun, disokong penambahan kapal baharu dan kadar sewaan kukuh. - DagangNews.com








