Orkim dijangka catat untung sehingga RM90 juta pada FY26-27, BIMB Securities mulakan liputan dengan saranan ‘beli’ | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Orkim dijangka catat untung sehingga RM90 juta pada FY26-27, BIMB Securities mulakan liputan dengan saranan ‘beli’

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 7 April - Orkim Bhd dijangka merekodkan pertumbuhan pendapatan yang stabil dalam tempoh beberapa tahun akan datang, disokong oleh peluasan armada serta permintaan berterusan bagi perkhidmatan pengangkutan produk petroleum.

 

BIMB Securities dalam nota permulaan liputannya terhadap syarikat itu meletakkan saranan “beli” dengan harga sasaran RM1.05 sesaham, sekali gus menandakan liputan penganalisis pertama sejak penyenaraian Orkim kira-kira empat bulan lalu.

 

Menurut firma penyelidikan itu, kadar sewaan harian dijangka meningkat sekitar 2.1% setahun dalam tempoh tiga tahun akan datang, dipacu oleh pembaharuan kontrak sedia ada serta perjanjian baharu.

 

“Keterlihatan pendapatan Orkim disokong oleh kontrak jangka panjang sehingga 10 tahun dengan pilihan lanjutan, merangkumi sewaan masa, sewaan pelayaran berturut-turut dan kontrak pengangkutan,” katanya.

 

Berdasarkan unjuran, Orkim dijangka mencatat keuntungan bersih RM84.7 juta pada tahun kewangan 2026 sebelum meningkat kepada RM90.9 juta pada tahun berikutnya.

 

Pada masa sama, saham syarikat itu susut kira-kira 10% sejak tercetusnya konflik Iran pada Mac kepada 95.5 sen setakat Selasa, namun masih melebihi harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 92 sen, dengan permodalan pasaran sekitar RM955 juta.

 

Disokong oleh Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas), Orkim kini mengendalikan 19 kapal yang mengangkut produk petroleum bersih seperti petrol dan diesel serta gas petroleum cecair termasuk propana dan butana.

 

Selain itu, syarikat itu mempunyai empat kapal baharu yang sedang dibina dan dijangka siap menjelang 2027.

 

BIMB Securities berkata, nilai kontrak sewaan masa Orkim yang masih berbaki mencecah RM596.3 juta setakat akhir Mac, bersamaan hampir lima kali ganda hasil kontrak tersebut pada 2025, sekali gus memberikan sokongan kukuh kepada aliran tunai masa hadapan.

 

“Kami melihat model perniagaan berasaskan kontrak ini membantu mengurangkan ketidaktentuan daripada sumber tidak berulang seperti sewaan spot, di samping menyokong kestabilan aliran tunai dan disiplin peruntukan modal,” katanya.

 

Menurutnya, gabungan kontrak sedia ada termasuk sewaan pelayaran berturut-turut dan kontrak pengangkutan turut memastikan kadar penggunaan armada kekal tinggi serta mengurangkan kebergantungan kepada pasaran spot yang lebih tidak menentu.

 

Dari sudut penilaian, harga sasaran yang ditetapkan adalah berdasarkan kira-kira tujuh kali nilai perusahaan, iaitu diskaun sekitar 20% berbanding syarikat lebih besar, MISC Bhd.

 

“Penilaian ini adalah munasabah memandangkan MISC lebih sesuai dilihat sebagai proksi sektor berbanding perbandingan langsung,” tambahnya. - DagangNews.com