KUALA LUMPUR 20 Jun - Oriental Kopi Holdings Bhd memeterai perjanjian bagi membeli premis yang kini disewa sebagai ibu pejabat dan kemudahan pergudangan di Puchong, Selangor, dengan harga RM23 juta.
Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, butiran lanjut termasuk terma utama perjanjian jual beli (SPA), rasional transaksi, dan risiko yang berkaitan, akan didedahkan selepas perjanjian dimuktamadkan.
Ia dijangka disempurnakan dalam tempoh 21 hari dari 2 Jun 2026, atau pada tarikh lain yang dipersetujui bersama.
Hartanah itu merangkumi sebidang tanah pajakan seluas 5,260.8 meter persegi dengan sebuah unit kilang yang didirikan di atasnya.
Penjualnya ialah Icon Facade Sdn Bhd, yang dimiliki oleh Heng Ngeng Choo dan Siau Fui Chien.
Oriental Kopi berkata, pembelian itu dijangka akan menjimatkan kos dengan menghapuskan bayaran sewa dan logistik, selain mengurangkan risiko kehilangan hak untuk menggunakan hartanah tersebut.
Sejak disenaraikan pada 23 Januari lalu pada harga 44 sen, saham Oriental Kopi mencatatkan kenaikan sebanyak 86%.- DagangNews.com








