KUALA LUMPUR 5 Jan – Oriental Interest Berhad mengambil alih sebidang tanah pajakan 99 tahun di Mukim Bukit Raja, Daerah Petaling, Selangor dengan pertimbangan tunai berjumlah RM80,766,579.
Kumpulan pemaju hartanah tersebut dalam kenyataan berkata, pemeteraian perjanjian jual beli (SPA) dilaksanakan menerusi anak syarikat 70% miliknya, Myra Land Sdn Bhd dengan SJ Properties Sdn Bhd.
Jelas syarikat itu, pemerolehan tersebut melibatkan keluasan tanah kira-kira 275,688 meter persegi, dengan kategori kegunaan hartanah berkenaan ialah bangunan berbentuk kediaman dan perniagaan.
"Selain itu, Oriental Interest melaksanakan kaedah penyelesaian SPA tersebut dengan dibayar secara tunai sepenuhnya melalui sumber dana dalaman atau pinjaman bank," maklumnya kepada Bursa Malaysia.
Menurutnya, cadangan pemerolehan ini adalah selaras dengan strategi kumpulan berkenaan untuk memberikan fokus pembangunan di lokasi utama dalam wilayah tengah Semenanjung Malaysia sendiri.
Langkah strategik ini bertujuan meningkatkan simpanan tanah kumpulan di kawasan strategik Lembah Klang bagi memanfaatkan pengalaman luas dalam projek bercampur di bawah jenama Myra.
Lembaga Pengarah Oriental Interest menyifatkan usaha pengalihan ini sebagai langkah terbaik buat kumpulan memandangkan potensi hartanah tersebut untuk menjana aliran pendapatan masa hadapan.
Transaksi SPA ini tambahnya, dijangka tidak memberikan sebarang kesan material kepada aset bersih dan kadar gear atau hutang kumpulan tersebut bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Ogos 2026.
"Bagaimanapun, pengambilalihan ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan, dan pemerolehan ini tidak memerlukan kelulusan pemegang saham syarikat," jelasnya lagi.
Urus niaga dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 13 bulan daripada tarikh perjanjian, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa tempatan yang berkaitan termasuk isu kebenaran pindah milik.
Tambah Oriental Interest, SJ Properties Sdn Bhd, sebagai vendor hartanah itu, merupakan syarikat milik penuh Syarikat Permodalan Kebangsaan Berhad (SPKB). - DagangNews.com








