KUALA LUMPUR 28 Jan - Optimax Holdings berkemungkinan besar memperlahankan pengembangannya pada 2025 dan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan jumlah pesakit serta kadar penggunaan di 16 pusat jagaan ambulatori (ACC), lapan klinik satelit dan hospital pakar, kata Phillip Capital.
Katanya, cawangan baharu kumpulan itu di Kemboja juga menunjukkan prestasi yang baik, terutama ketika melakukan pembedahan dan beroperasi pada kapasiti penuh apabila doktor dari Malaysia tersedia.
"Melihat minat dan potensi pasaran yang kukuh, Optimax merancang untuk membuka cawangan tambahan menjelang akir 2025.
"Rancangan pengembangan perniagaan di Malaysia kekal di landasan tepat dengan Selgate dan Hospital Kempas dijangka siap dibina pada penghujung tahun ini," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, pengurusan menekankan usaha pengembangan ke luar Malaysia dan memanfaatkan sektor pelancongan perubatan yang semakin berkembang.
Katanya, inisiatif itu menunjukkan hasil positif, dengan sumbangan daripada pelancong perubatan menyumbang 10% daripada jumlah hasil berbanding kurang 2% pada 2022-2023.
Phillip Capital berkata, kumpulan itu terus melihat daya tarikan yang kuat dalam jumlah pembedahan, dijangka memacu pertumbuhan hasil dari suku tahun ke suku tahun dan ia kini sedang mengendalikan 21 bilik pembedahan dan beroperasi pada 65% penggunaan.
"Kami menyukai syarikat itu kerana status pengendali khususnya dalam segmen penjagaan mata dan prospek pertumbuhan pendapatan yang kukuh didorong oleh pengembangan serantau yang strategik," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" pada harga sasaran (TP) 80 sen sesaham.- DagangNews.com








