Operasi loji fosfat diyakini jana keuntungan ke atas Cahya Mata Sarawak pada 2026, kata Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Operasi loji fosfat diyakini jana keuntungan ke atas Cahya Mata Sarawak pada 2026, kata Maybank IB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 24 DisCahya Mata Sarawak Berhad berada pada laluan yang lebih jelas ke arah keuntungan bagi segmen fosfat, susulan pemulihan bekalan elektrik dan kemajuan operasi loji fosfat.


Sehubungan itu, Maybank Investment Bank mengekalkan saranan ‘beli' ke atas saham kumpulan tersebut sambil menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM1.87, meningkat 13% daripada RM1.66 sebelum ini.


Perkembangan positif berkenaan jelas firma penyelidikan itu, didorong oleh prospek keuntungan yang semakin baik bagi segmen fosfat bermula 2026, berikutan bekalan tenaga di loji pulih sepenuhnya.


"Kami dimaklumkan loji fosfat Cahya Mata sudah beroperasi bermula 9 September 2025, sekali gus mengurangkan kerugian yang ditanggung oleh segmen berkenaan pada masa akan datang," katanya lagi.


Kumpulan tersebut tambah Maybank IB, menyasarkan tarikh operasi komersial (COD) di loji tersebut pada April 2026 dengan kesemua empat relau kini sedang dihidupkan semula secara berperingkat.


Firma itu berkata, sehingga mencapai COD, sumbangan hasil kepada syarikat berkenaan dijangka terhad memandangkan fosforus kuning yang dihasilkan masih berada di luar spesifikasi komersial.


Loji berkenaan direka untuk menghasilkan sehingga 48,000 tan setahun (ktpa) fosforus kuning dan 60,000 ktpa asid fosforik gred makanan, namun Cahya Mata akan memulakan pengeluaran satu persatu.


"Ia mengeluarkan fosforus kuning terlebih dahulu, memandangkan bahan itu input utama penghasilan asid fosforik dan menjangkakan loji tersebut mampu mencapai titik pulang modal," kata Maybank IB.


Justeru, firma penyelidikan itu menjangka titik tersebut dicapai pada suku ketiga 2026, selepas keempat-empat relau beroperasi sepenuhnya dan mencapai tahap ketulenan fosforus yang dikehendaki.


Unjuran ini jelasnya, adalah berdasarkan harga jualan purata fosforus kuning sekitar AS$4,000 (RM16,232) satu tan, dengan harga sebenar masih lagi tertakluk kepada tahap ketulenan produk. 


Pasaran utama fosforus kuning keluaran Cahya Mata ialah Jepun dan Korea Selatan, dengan apabila kadar penggunaan loji stabil sekitar 70%, segmen fosfat mampu menjana margin belasan peratus.


"Secara keseluruhan, kami berpandangan kumpulan ini berada pada kedudukan kukuh pemulihan prestasi kewangan bermula 2026, disokong oleh kemajuan loji fosfat," katanya. - DagangNews.com