IPOH 25 April - Operasi di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) Ipoh dapat dipertingkatkan termasuk kapasiti penumpang setelah kerja menaiktaraf pelbagai kemudahan disiapkan.
Komitmen Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) ini sejajar dengan matlamat untuk menaik taraf infrastruktur penerbangan nasional bagi pembangunan jangka panjang negara.
Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, pihaknya sentiasa menyokong aspirasi Kerajaan dalam memperkukuhkan jaringan mobiliti udara melalui pelaburan bersasar,
Menurut beliau, ini bukan hanya di lapangan terbang utama tetapi juga di lapangan terbang sekunder seperti LTSAS.

“Kami amat berbesar hati kerana terus diberikan kepercayaan di bawah perjanjian operasi, untuk mengendali dan menyelenggara 39 lapangan terbang di seluruh negara.
“Kami menggalas kepercayaan ini dengan penuh tanggungjawab kerana lapangan terbang adalah aset strategik negara yang amat penting kepada kesalinghubungan, keselamatan dan pembangunan ekonomi,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Penambahbaikan dan Penaiktarafan LTSAS di sini hari ini.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim hadir bagi menyempurnakan perasmian tersebut.
Hadir sama Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook.


Jelas Mohd Izani, skop menaik taraf di LTSAS termasuk peluasan terminal, penambahbaikan kawasan daftar masuk dan ketibaan dan fasiliti imigresen yang lebih efisien.
Turut ditingkatkan ialah kemudahan keselamatan seperti televisyen litar tertutup (CCTV) dan mesin pengimbas.
“Bangunan terminal kini lebih luas mampu menampung sehingga 700,000 penumpang setahun, berbanding 500,000 sebelumnya atau penambahan sehingga 40%.
“Peningkatan ini telah menggandakan kapasiti pengendalian penumpang pada waktu puncak lapangan terbang daripada 240 kepada 510 penumpang sejam.
“Kaunter sewa kereta dan teksi bersepadu telah diperkenalkan di Balai Ketibaan selain kedai makanan dan minuman yang lebih mesra untuk penumpang berehat,” ujarnya .



LTSAS kini mengendalikan perkhidmatan penerbangan harian oleh AirAsia ke Johor Bahru dan Scoot ke Singapura.
Kerajaan sebelum ini meluluskan peruntukan sebanyak RM60 juta bagi kerja-kerja melebar dan menaik taraf landasan LTSAS.
Ia melibatkan dua fasa iaitu fasa pertama membabitkan RM8 juta manakala RM52 juta lagi akan diteruskan bagi fasa kedua - DagangNews.com







