Online Safety IRL: Scam Edition sasar 5 juta pengguna komuniti tangani penipuan berasaskan AI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Online Safety IRL: Scam Edition sasar 5 juta pengguna komuniti tangani penipuan berasaskan AI

SERAMAI 35 peserta dilatih untuk memperkasakan kesedaran mengenai penipuan dan keselamatan digital di bawah program Online Safety IRL:Scam Edition.
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 24 Okt – Seramai 35 pemimpin belia dan pencipta kandungan digital dipilih menyertai program Online Safety IRL: Scam Edition, bagi memperkasa advokasi keselamatan dalam talian serta meningkatkan kesedaran terhadap penipuan berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) 


Inisiatif tersebut dianjurkan bersama Kementerian Komunikasi, CelcomDigi Berhad, Meta Platforms Inc dan Ratio:Cause dengan sokongan operator media Tonton.


Program ini menyasarkan untuk mendidik lebih lima juta pengguna dalam talian di seluruh negara melalui kempen komuniti dan kandungan kreatif yang membentuk tingkah laku digital yang lebih selamat dan beretika.


Edisi kedua Online Safety IRL ini hadir susulan kejayaan penganjuran sebelum ini yang memberi impak kepada lebih 2.8 juta rakyat Malaysia, dengan fokus baharu kepada penipuan kewangan dan manipulasi digital yang dijana oleh AI.


Peserta program akan menjalani fellowship menyeluruh meliputi bimbingan mentor dan projek komuniti, bagi memperkukuh kefahaman mengenai psikologi penipuan, peranan AI dalam risiko keselamatan digital serta strategi advokasi berkesan.


Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, menegaskan yang usaha membanteras penipuan dalam talian memerlukan kolaborasi menyeluruh antara kerajaan, industri dan masyarakat.


“Program ini membuktikan bahawa apabila semua pihak berganding bahu, kita dapat meningkatkan kesedaran dan memperkukuh keselamatan digital untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.


Sementara itu, Ketua Kelestarian CelcomDigi, Philip Ling berkata, golongan belia dan pencipta kandungan memainkan peranan penting sebagai pemangkin perubahan tingkah laku digital.


“Melalui Online Safety IRL, kami membina rangkaian penggerak advokasi yang dinamik bagi mencetuskan perbualan dan menjadikan internet lebih selamat untuk semua,” ujarnya.


Dalam pada itu, Ketua Dasar Awam Meta bagi Malaysia dan Brunei, Daniel Lim menekankan kepentingan memperlengkapkan generasi muda dengan kemahiran keselamatan digital yang kukuh.


“Melindungi pengguna dalam talian adalah tanggungjawab bersama. Kami berbangga menyokong pemimpin muda dalam memperjuangkan kesedaran penipuan serta menggalakkan penggunaan internet yang selamat dan bertanggungjawab,” katanya.


Pengarah Eksekutif Ratio:Cause, New Su Shern, pula berkata kolaborasi pelbagai pihak membuktikan keberkesanan dalam membangunkan daya bingkas masyarakat terhadap ancaman penipuan digital.


“Program ini bukan sekadar mengenai kempen kesedaran, tetapi gerakan sosial yang mengubah cara rakyat berfikir dan bertindak dalam dunia digital,” tambahnya.


Menurut kenyataan bersama, program ini menampilkan dua laluan latihan khas, antaranya Fellowship Pencipta Kandungan selama bulan, merangkumi geran RM8,000 untuk penghasilan kandungan kesedaran scam, sesi masterclass bersama pakar serta peluang kolaborasi bersama agensi dan korporat.


Latihan seterusnya ialah Fellowship Belia selama 6 bulan yang menekankan advokasi komuniti dan projek kesedaran penipuan, disertai bimbingan mentor serta latihan bersama pakar industri.


Sebagai sebahagian daripada pelancaran, Meta turut memperkenalkan permainan interaktif 'Is This Legit?' dalam Bahasa Malaysia, bertujuan mendidik pengguna mengenal pasti dan mengelak penipuan dalam talian.


Permainan ini boleh diakses melalui pautan https://my.isthislegit.eyeyah.com.


Melalui kolaborasi antara sektor awam, swasta dan masyarakat sivil, Online Safety IRL: Scam Edition dijangka melahirkan generasi pemimpin digital yang lebih berdaya tahan terhadap penipuan siber, sekali gus memperkukuh ekosistem keselamatan dalam talian negara.


Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif ini dan hasil daripada peserta, masyarakat boleh melayari www.onlinesafetyirl.com atau ikuti @onlinesafetyirl di Instagram, Facebook dan TikTok. - DagangNews.com