Omesti menang kontrak penyelenggaraan sistem e-Kehakiman Fasa 2 bernilai RM18.25 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Omesti menang kontrak penyelenggaraan sistem e-Kehakiman Fasa 2 bernilai RM18.25 juta

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 19 Dis - Omesti Berhad menerima tender daripada Mahkamah Persekutuan Malaysia bagi kontrak perkhidmatan penyelenggaraan sistem e-Kehakiman Fasa 2 bagi tempoh 2025 hingga 2027.


Kumpulan tersebut berkata, surat penganugerahan diterima melalui anak syarikat secara tidak langsungnya, Formis Network Services Sdn Bhd (FNS) yang kepentingannya dimiliki sebanyak 49 peratus. 


Tempoh kontrak bernilai RM18.25 juta itu berlangsung selama 18 bulan bermula 1 Januari 2026, dan tertakluk kepada perjanjian formal yang akan dimeterai dengan kerajaan Malaysia dalam masa terdekat.


"Pihak pengurusan menegaskan bahawa kontrak ini tidak memberi kesan terhadap modal diterbitkan atau pegangan pemegang saham utama syarikat," maklum Omesti kepada Bursa Malaysia hari ini.


Selain itu, kontrak berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada hasil, pendapatan sesaham dan aset bersih sesaham, tanpa memberi impak segera yang material terhadap nisbah hutang kumpulan.


Di samping itu, pihak pengurusan syarikat berkenaan juga menyatakan tiada risiko lain yang secara signifikan dikenal pasti selain daripada risiko operasi biasa berkaitan dengan kontrak tersebut.


Pada masa sama jelas Omesti, tiada pengarah atau pemegang saham utama, atau individu yang berkaitan mempunyai sebarang kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kontrak terbaharu ini.


"Lembaga Pengarah kumpulan menegaskan bahawa penerimaan kontrak ini juga adalah dalam kepentingan terbaik ke atas Omesti Group," katanya. - DagangNews.com