KUALA LUMPUR 23 Sept – OM Holdings Limited (OMH) melengkapkan penjualan 60% ekuiti dalam anak syarikatnya, OM Materials (Qinzhou) Co Ltd (OMQ) kepada sebuah syarikat berpangkalan di China.
Menurut kumpulan peleburan silikon dan mangan itu, ia sudah selesai dilupuskan kepada Shaanxi Sinian Metal & Mining Co Ltd, dalam transaksi yang bernilai kira-kira 120 juta yuan (kira-kira RM70.8 juta).
OMH memaklumkan penjualan itu dimuktamadkan selepas penerimaan deposit sebanyak 108 juta yuan (RM63.41 juta) dan baki hasil jualan dijangka diterima penuh selewat-lewatnya akhir November 2025.
"Ia dibuat melalui anak syarikat, OM Materials (S) Pte Ltd (OMS), sebagai sebahagian pelan strategik bagi mengukuhkan kedudukan kewangan dan kecairan tunai syarikat," maklum OMH kepada Bursa Malaysia.
Walaupun selepas penjualan, OMS masih lagi mengekalkan sebanyak 40% kepentingan dalam OMQ, yang membolehkan OMH kekal terlibat secara strategik dalam operasi serta pasaran ferroaloi di China.
Logam berkenaan katanya, merupakan campuran yang mengandungi besi sebagai komponen utama serta diadun dengan pelbagai unsur logam lain seperti mangan, silikon, kromium, vanadium dan molibdenum.
Ferroaloi digunakan meluas dalam pengeluaran keluli dan aloi logam lain untuk menambah kekuatan, ketahanan kakisan, kekerasan logam serta meningkatkan sifat mekanikal dan daya tahan haba logam.
"Ia adalah bahan yang penting dalam industri keluli, lazim digunakan untuk mempertingkatkan mutu dan ciri-ciri logam akhir di samping dapat bertindak sebagai pengurang dalam peleburan keluli," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif OMH, Low Ngee Tong berkata, syarikat itu berbesar hati dapat melengkapkan penjualan sebahagian kepentingan dalam OMQ.
Langkah berkenaan jelas beliau, merupakan strategi penting bagi mengukuhkan lembaran imbangan kumpulan itu, sambil mengekalkan kehadiran dalam pasaran ferroaloi China yang berkembang pesat.
Tambahnya, transaksi ini turut membuka era baharu dalam kerjasama dengan Shaanxi Sinian Metal, yang dilihat berpotensi mewujudkan pelbagai peluang sinergi masa depan antara kedua-dua syarikat.
"Secara keseluruhan, hasil tunai yang diperoleh daripada penjualan 60% ekuiti dalam OMQ akan digunakan OMH bagi tujuan modal kerja umum syarikat dalam jangka panjang," kata Ngee Tong.
OMQ merupakan entiti penting rantaian nilai OMH, terlibat dalam pengeluaran dan pengedaran produk ferroaloi sebagai bahan utama industri keluli tahan karat dan logam khas lain. - DagangNews.com








