Oiltek dilantik sebagai kontraktor eksklusif projek bahan api penerbangan mampan RM1.6 bilion di Sabah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Oiltek dilantik sebagai kontraktor eksklusif projek bahan api penerbangan mampan RM1.6 bilion di Sabah

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 6 AprilOiltek International Ltd dilantik sebagai kontraktor eksklusif bagi projek pembangunan kemudahan bahan api penerbangan mampan (SAF) yang bernilai RM1.65 bilion di Sabah.


Katanya, projek tersebut akan dibangunkan bersama BioSeaga Industries Sdn Bhd dari Brunei menerusi pemeteraian Perjanjian Prinsip (HOA) untuk membangunkan biopenapisan yang berskala besar itu.


Projek fasa pertama melibatkan kapasiti pengeluaran awal 300 tan metrik sehari, dengan menggunakan efluen kilang minyak sawit (POME) dan minyak masak terpakai (UCO) sebagai bahan mentah utama.


"Anak syarikat Oiltek di Malaysia, Oiltek Sdn Bhd akan bertindak sebagai rakan kongsi eksklusif bagi kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC)," jelasnya dalam kenyataan.  


Projek berkenaan tambah kumpulan itu yang disenaraikan di Bursa Singapura, turut meliputi fasiliti prarawatan, loji pengeluaran, ladang tangki, infrastruktur logistik serta kemudahan pencampuran.


Selain itu, syarikat berkenaan diberikan hak penolakan pertama bagi sebarang penyertaan dalam pelaburan ekuiti, usaha sama atau isu pemilikan berkaitan projek berkenaan dan fasa seterusnya.

 

Oiltek_DagangNews


Pembinaan dijangka bermula pada suku keempat 2026, dengan potensi pengembangan pada masa hadapan melibatkan bahan api termaju termasuk hidrogen hijau dan derivatif tenaga rendah karbon lain.


"Apabila siap, kemudahan itu dijangka meletakkan Sabah sebagai antara hab pengeluaran SAF terbesar di rantau ini, serta menyokong usaha penyahkarbonan industri penerbangan global," kata Oiltek.


Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Oiltek, Henry Yong Khai Weng, projek baharu tersebut akan memperkukuh penglibatan kumpulan dalam rantaian nilai SAF.


Lembaga Pengarah jelas beliau, turut berpandangan projek ini akan membolehkan lumpulan memperkukuh penglibatannya dalam rantaian nilai SAF yang semakin berkembang pesat di seluruh dunia ketika ini.


Projek itu juga tambahnya, merupakan peluang strategik yang signifikan untuk kumpulan tersebut memanfaatkan keupayaan EPCC sedia ada, bersama-sama pengalaman relevan dalam rantaian nilai SAF.


"Dalam masa sama, Oiltek turut merancang penyenaraian sekunder di Pasaran Utama Bursa Malaysia dengan M&A Securities Sdn Bhd dilantik sebagai penasihat," katanya. - DagangNews.com