KUALA LUMPUR 2 Sept – OCK Group Berhad terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju perkhidmatan telekomunikasi dan infrastruktur digital di negara ini, menurut Phillip Capital.
Firma penyelidikan itu menyifatkan pertumbuhan hasil 16% tahun ke tahun (YoY) pada suku keenam tahun kewangan 2025 (6QFY25), dipacu pelaksanaan pelbagai projek berskala besar yang kian rancak.
Ia mengekalkan saranan 'beli' dan harga sasaran 66 sen sesaham, didorong oleh jangkaan lonjakan pendapatan berikutan pelaksanaan projek 5G dan fasa kedua Jendela bermula suku keempat 2025.
"Setakat akhir 6QFY25, buku tempahan tertunggak OCK mencecah RM260 juta, diterajui oleh segmen perkhidmatan rangkaian transaksi (TNS) yang menyumbang 65%," kata Phillip Capital dalam notanya.
Ini diikuti segmen rumusan tenaga sebanyak 27%, manakala pendapatan berulang daripada pajakan menara dan perkhidmatan terurus kekal kukuh, menjadi tunjang kepada kestabilan hasil kumpulan.
OCK kata firma berkenaan, berusaha membida pelbagai projek bernilai RM1.6 bilion, hampir separuh daripadanya berkaitan TNS, manakala perkhidmatan digital merangkumi 30% daripada nilai bidaan.
Kesemua projek tersebut kata Phillip Capital, dikenal pasti sebagai pemacu utama pertumbuhan, termasuk tender baharu bakal diumumkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
"Kerjasama strategik dengan U Mobile memperkukuh kedudukan OCK dalam pembangunan infrastruktur 5G apabila ia menaik taraf 2,000 tapak sedia ada dan merancang tambahan 500 tapak baharu," katanya.
Daripada jumlah itu, 180 tapak akan dilaksanakan OCK dalam tempoh 12 bulan akan datang, serta menyumbang tambahan nilai projek sebanyak antara RM15 juta hingga RM18 juta kepada kumpulan.
Selain itu tambah Phillip Capital, buku tender bersama U Mobile sahaja sudah mencecah sebanyak RM500 juta, dan angka berkenaan memperkukuh prospek pertumbuhan kumpulan dalam jangka panjang.
Sementara itu, meskipun segmen pusat data menyumbang 6% kepada hasil kumpulan, ia menyediakan pendapatan berulang yang stabil serta jaminan potensi bagi pertumbuhan secara jangka panjang.
"Ini terutama peningkatan permintaan syarikat gergasi teknologi dan sektor perusahaan, di samping OCK terus memacu inisiatif hijau melalui segmen tenaga boleh diperbaharui (RE)," katanya lagi.
Langkah syarikat berkenaan tambah Phillip Capital, turut selaras dengan agenda mampan nasional serta permintaan tinggi daripada sektor awam dan swasta untuk projek rumusan tenaga bersih.
Firma itu menyifatkan OCK sebagai penerima manfaat utama projek nasional seperti Jendela Fasa 2 dan pelaksanaan infrastruktur 5G, serta kekuatan kumpulan dalam menjana 65% pendapatan berulang.
Bagaimanapun, firma itu turut mengingatkan beberapa risiko utama, antaranya kelewatan tidak dijangka dalam pelaksanaan projek, dan perkembangan portfolio menara perlahan daripada jangkaan.
“Dengan momentum projek yang semakin kukuh dan keupayaan OCK menyokong pelaksanaan teknologi 5G negara, kami mengekalkan penilaian positif terhadap saham ini,” jelas Phillip Capital. - DagangNews.com








