KUALA LUMPUR 19 Ogos – Oasis Home Berhad muncul sebagai syarikat pertama di Bursa Malaysia yang terlibat perniagaan jualan dalam talian, menandakan pencapaian penting landskap runcit digital negara, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Firma penyelidikan tersebut berkata, setelah disenaraikan di Pasaran ACE pada 28 Mei 2025, syarikat berkenaan kini berada pada kedudukan strategik untuk meneruskan momentum pertumbuhannya, dengan didorong oleh pelbagai faktor.
Antaranya kata firma itu, menerusi pelaburan agresif dalam infrastruktur digital, perluasan produk, dan tenaga kerja berkemahiran tinggi, khusus untuk memperkukuh penguasaan dalam ekosistem 'live commerce' yang berkembang pesat.
"Model perniagaan bersifat pelbagai saluran membolehkan ia memanfaatkan sepenuhnya perubahan corak pembelian pengguna moden yang semakin cenderung kepada platform langsung seperti TikTok Live dan Facebook Live," kata Maybank IB dalam notanya.
Oasis Home tambahnya, menggunakan hasil penerbitan tawaran awam permulaan (IPO) untuk merancang strategi pertumbuhan komprehensif bagi memperkukuh operasinya dalam segmen 'live commerce' termasuk penambahan sekurang-kurangnya lima saluran penstriman langsung baharu di platform utama.
Selain itu katanya, ia mengambil 53 kakitangan profesional, termasuk hos jualan langsung dan pasukan teknikal sokongan, serta melaksanakan pembinaan 10 hingga 12 studio penstriman profesional baharu di ibu pejabat baharu yang dijangka siap pada 2026.
Langkah ini jelas Maybank IB, memperlihatkan komitmen jangka panjang Oasis Home untuk menjadi peneraju utama dalam ekosistem 'live commerce' bukan sahaja di Malaysia, malah berpotensi di rantau Asia Tenggara sendiri.
"Segmen 'live commerce' telah menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan, dengan pendapatan melonjak 141% dalam tempoh dua tahun, daripada RM17.2 juta pada FY22 kepada RM41.5 juta pada FY24," kata firma berkenaan.
Strategi jualan langsung ini bukan sahaja memperluaskan capaian pasaran, malah membolehkan syarikat meningkatkan margin keuntungan kasar serta mengurangkan kebergantungan kepada inventori fizikal, sekali gus menambah baik kecekapan operasi.
Margin keuntungan kasar Oasis Home juga tambah Maybank IB, terus meningkat daripada 42.0% pada FY22 kepada 47.7% dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2025.
Dengan penilaian semasa pada 13.4 kali pendapatan tahunan FY25, kumpulan tersebut masih diniagakan pada diskaun berbanding purata 18.6 kali dalam kalangan rakan industri global, dan situasi ini memberi ruang kepada potensi kenaikan.
"Syarikat turut menawarkan polisi dividen sekurang-kurangnya 30% daripada keuntungan bersih dan disenaraikan sebagai saham patuh Syariah, menjadikannya lebih menarik untuk pelabur runcit dan institusi," kata firma tersebut.
Secara keseluruhan kata Maybank IB, dengan pelaburan menyeluruh dalam bakat, teknologi dan saluran digital, Oasis Home bukan sekadar syarikat runcit, ia adalah pemacu utama transformasi landskap 'live commerce' Malaysia.
Dengan asas yang kukuh dan visi jangka panjang, syarikat ini diramal bersedia untuk mendominasi pasaran runcit digital generasi baharu. - DagangNews.com








