KUALA LUMPUR 12 Dis – Oasis Harvest Corporation Berhad berhasrat mengambil alih kira-kira 80% kepentingan dalam Contagious (Malaysia) Sdn Bhd dengan nilai tunai keseluruhan RM900,000.
Lembaga pengarah kumpulan tersebut berkata, perjanjian jual beli saham (SSA) ditandatangani dengan Jubilee Holdings Sdn Bhd selaku pemilik syarikat itu dan akan membeli 352,000 saham Contagious.
Langkah berkenaan jelasnya, sekali gus menjadikan syarikat perkhidmatan pengurusan acara itu sebagai anak syarikat milik 80% Oasis Harvest selepas proses urus niaga tersebut berjaya diselesaikan.
"Pembayaran dibuat secara dua peringkat, dengan RM620,000 dalam tempoh 14 hari selepas tarikh penyiapan, manakala baki selepas pemenuhan jaminan keuntungan," maklumnya kepada Bursa Malaysia.
Proses berkenaan seperti ditetapkan dalam SSA dan Oasis Harvest menjelaskan yang pembelian itu akan dibiayai sepenuhnya melalui sumber dana dalamannya sendiri tanpa melibatkan pinjaman luar.
Kumpulan tersebut tambahnya, mencatatkan aliran tunai dan setara tunai sebanyak RM2.19 juta berdasarkan keputusan kewangan yang tidak diaudit bagi tempoh berakhir pada 30 September 2025.
Katanya lagi, pemerolehan Contagious merupakan langkah strategik Oasis Harvest untuk mengurangkan kebergantungan kepada penyedia luar bagi perkhidmatan pengurusan acara dengan kos yang tinggi.
"Ia seiring pengembangan operasi makanan dan minuman (F&B) kumpulan. Melalui pengambilalihan ini, kami menyasar menggabungkan kepakaran pengurusan acara secara dalaman," jelas syarikat tersebut.
Usaha berkenaan juga kata Oasis Harvest, dapat meningkatkan tahap kawalan, kecekapan kos serta integrasi pemasaran kumpulan, kerana Contagious memiliki rekod kukuh pengurusan acara korporat.
Syarikat ditubuhkan pada 2010 itu terkenal dengan portfolio pelanggan utama termasuk CelcomDigi, Malaysia Airlines dan DRB-Hicom, serta pengendalian acara seperti pelancaran Terminal 2 KLIA.
Oasis Harvest berkata, pemerolehan dijangka memberi manfaat sinergi termasuk penggunaan rangkaian restorannya sebagai lokasi acara serta peningkatan kehadiran jenama melalui aktiviti pemasaran.
"Pada masa sama, kami berupaya memanfaatkan pengalaman Contagious, serta penjimatan kos operasi melalui perkongsian sumber, meskipun mungkin ada beberapa risiko tertentu," tambahnya lagi.
Bagaimanapun jelasnya, risiko tidak dijangka tersebut dilindungi dokumentasi jaminan keuntungan dengan disokong oleh pampasan daripada pihak penjamin sekiranya berlaku kekurangan urus niaga.
Lembaga pengarah dan jawatankuasa audit Oasis Harvest menegaskan cadangan pengambilalihan itu adalah adil, munasabah dan masih lagi di bawah terma komersial biasa. - DagangNews.com








