Nilai saham VS Industry terlalu rendah disebabkan isu kebimbangan dasar tarif AS – RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Nilai saham VS Industry terlalu rendah disebabkan isu kebimbangan dasar tarif AS – RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 25 SeptRHB Research menyifatkan penurunan harga saham VS Industry Berhad kebelakangan ini sebagai tidak wajar apabila penilaian semasanya berada di bawah purata sejarah.


Firma penyelidikan berkenaan menambah, keadaan tersebut berpunca daripada respons kebimbangan pelabur yang dianggap keterlaluan terhadap isu ketidaktentuan dasar tarif Amerika Syarikat (AS).


Ia menegaskan, reaksi pasaran amat berhati-hati tidak mencerminkan asas kukuh syarikat itu dalam jangka panjang, serta masih mengekalkan saranan 'beli' tetapi sasaran harga baharu 78 sen sesaham.


“Walaupun terdapat ketidaktentuan berhubung dasar tarif AS, kami percaya tekanan penilaian adalah berlebihan, tidak selari kekuatan fundamental sebenar syarikat,” jelas RHB Research dalam notanya.


Antara faktor yang menyokong pendirian positif berkenaan termasuklah pertambahan pegangan pasaran menerusi 'Pelanggan X' serta peluang jangka panjang daripada trend pengalihan pengeluaran global.


Kata firma itu, banyak negara melihat produk VS Industry dikeluarkan di Malaysia lebih kompetitif berbanding China dari segi tarif dan ini berpotensi memberi pulangan 26% kepada pelabur sahamnya.


Kumpulan itu dijadual mengumumkan keputusan suku keempat tahun kewangan 2025 pada 30 September 2025, namun RHB Research menjangka keuntungan teras suku itu akan lemah di bawah RM5 juta sahaja.


"Keadaan ini susulan kelembapan penghantaran ke AS menjelang keputusan akhir tarif pada 1 Ogos 2025 menyebabkan pelanggan menunda penghantaran bagi mengelak ketidakpastian dasar," katanya.


Situasi tersebut dilihat memberi kesan ketara terhadap jumlah pengeluaran dan sekali gus margin keuntungan, memandangkan model perniagaan VS Industry lebih berasaskan kos tetap yang tinggi.


Tambahan pula, RHB Research memetik potensi pelarasan akaun dan rosot nilai yang lebih tinggi dalam suku itu, terutamanya selepas ia menukar juruaudit lama selepas lebih 30 tahun bersama.


Meskipun keputusan kewangan dijangka lemah, firma itu percaya asas perniagaan syarikat tidak terjejas dengan tiada kehilangan pelanggan utama atau perubahan negatif ketara dalam operasi.


"Sebaliknya, pengeluaran VS Industry kini semakin meningkat semula disebabkan oleh musim akhir tahun yang lazimnya sibuk serta pelancaran produk baharu oleh pelanggan utama," katanya lagi.


RHB Research menjangka usaha kepelbagaian pengeluaran oleh banyak jenama global juga berpotensi membuka ruang kepada kumpulan berkenaan sendiri untuk dapat meraih tempahan yang baharu.


Operasi pengeluaran di Filipina katanya, turut menunjukkan prestasi yang memberangsangkan, dengan produktiviti mencapai jangkaan dan kapasiti pembuatan dalaman didapati semakin berkembang pesat.


Bagaimanapun ia mengambil langkah berhati-hati dengan menurunkan unjuran keuntungan FY25 hingga FY27 masing-masing kepada 39%, 18% dan 23%, bagi mencerminkan penggunaan kapasiti lebih rendah.


"Risiko permintaan pengguna global yang lemah dan sebarang isu dalam operasi pengeluaran baharu juga boleh mempengaruhi prestasi semasa VS Industry," kata RHB Research. - DagangNews.com