KUALA LUMPUR 10 Okt – Penilaian saham THMY Holdings Berhad diunjur 23 kali hasil FY27, iaitu rendah berbanding purata rakan industri dan Indeks Teknologi Bursa Malaysia, kata RHB Research.
Bagaimanapun, firma penyelidikan tersebut masih lagi tetap optimis terhadap potensi pertumbuhan syarikat berkenaan, khususnya dalam pasaran sistem ujian automatik (ATS) yang pesat berkembang.
Ia menetapkan nilai wajar 43 sen sesaham menjelang penyenaraian kumpulan itu di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 23 Oktober 2025, sambil menyifatkan THMY sebagai pemain sektor yang berprofil tinggi.
“Diskaun penilaian ini wajar berikutan saiz pasaran modalnya yang kecil dan kecairan terhad, namun masih diimbangi oleh prospek pertumbuhan jelas," menurut RHB Research dalam kajiannya hari ini.
Kata firma tersebut, THMY mempunyai kedudukan teknologi yang kukuh dalam sektor ujian elektronik, dengan margin keuntungan kukuh, aliran tunai positif dan pulangan atas ekuiti (ROE) sekitar 20%.
Syarikat ini mereka bentuk dan menghasilkan peralatan ujian dalam litar (ICT) dan ujian fungsi (FCT) termasuk platform perisian tertanam untuk menguji prestasi papan litar bercetak (PCB).
Pelanggannya kata RHB Research, terdiri daripada pelbagai syarikat global perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) dalam sektor komunikasi, semikonduktor, peranti industri dan penjagaan kesihatan.
"Kami juga yakin dengan potensi sistem THMY yang digunakan untuk mengukur parameter elektrik utama dan mensimulasikan keadaan operasi bagi memastikan kualiti dan fungsi produk elektronik," katanya.
Berdasarkan laporan Smith Zander, industri ATS di Malaysia adalah RM2.91 bilion pada 2024, berbanding RM2.06 bilion pada 2022, dengan pertumbuhan tahunan 18.9%, melebihi kadar global 3.8%.
Faktor pemacu pertumbuhan termasuk permintaan tinggi untuk ujian, kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan pusat data (DC), serta dasar proaktif kerajaan melalui banyak inisiatif.
Justeru, jelas RHB Research, dana tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak RM44.6 juta wajar dimanfaat THMY bagi membina kilang baharu berkeluasan 8,175 meter persegi di Batu Kawan, Pulau Pinang.
"Fasiliti ini mampu menggandakan kapasiti pemasangan dan ujian, menambah 20 stesen FCT, memperkenal mesin dan platform ujian berasaskan AI, serta penyelidikan dan pembangunan (R&D)," kata firma itu.
THMY juga difahamkan, bersedia membuka pejabat sokongan baharu di Thailand bagi memperkukuhkan lagi perkhidmatan serantau dan meningkatkan kecekapan sokongan pelanggan di negara jiran berkenaan.
RHB Research menjangkakan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) sebanyak 20.5% dari FY25 hingga FY28**, dipacu oleh pelanggan baharu, permintaan tinggi terhadap FCT kompleks, dan ujian
Diasaskan oleh pengurusan berpengalaman lebih 20 tahun, THMY jelasnya, membina hubungan kukuh dengan syarikat EMS global bertaraf tier-1, memberikan kelebihan teknologi dan keyakinan pelanggan.
"Walaupun dinilai pada diskaun berbanding rakan setara, kami percaya potensi pertumbuhan tinggi, margin kukuh dan sokongan industri memberi asas kukuh kepada THMY dalam jangka panjang," katanya.
Syarikat itu juga tambahnya, berada pada landasan tepat menjadi peneraju dalam rumusan ujian automatik, sejajar peningkatan permintaan jaminan kualiti dalam ekosistem pembuatan elektronik.
Berdasarkan situasi semasa, ia mengekalkan pandangan positif dengan saranan 'beli’ terhadap THMY, disokong prospek pertumbuhan mampan dan strategi pengembangan kapasiti. - DagangNews.com








