Nilai saham Samaiden masih ketinggalan di belakang ketika asas syarikat kukuh - Kenanga | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Nilai saham Samaiden masih ketinggalan di belakang ketika asas syarikat kukuh - Kenanga

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 29 SeptKenanga Research menyifatkan Samaiden Group Berhad masih belum dihargai sepenuhnya oleh pelabur dan penganalisis, walaupun syarikat itu sebenarnya memiliki asas kukuh.


Firma penyelidikan tersebut menambah, kumpulan penyedia rumusan teknologi hijau itu memiliki potensi pertumbuhan pendapatan yang signifikan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) di negara ini.


Justeru, ia mengekalkan saranan ‘outperform’ ke atas saham Samaiden sambil menaikkan harga sasaran kepada RM2.08 sesaham, iaitu paling tinggi dalam kalangan firma penganalisis pasaran setakat ini.


“Pasaran masih belum menilai penuh keupayaan Samaiden meningkatkan pegangan daripada 8% kepada 14%. Malah, unjuran pendapatan kami melebihi konsensus masih bersifat konservatif,” kata Kenanga.


Dalam notanya, ia menjelaskan, unjuran tersebut juga mengambil kira peningkatan penggunaan khidmat kontraktor kecil, kekangan tenaga kerja, serta margin bersih yang masih berhati-hati sekitar 5%.


Samaiden, yang terlibat dalam pembangunan loji solar dan RE lain, mencatat kenaikan harga saham 23% dalam tempoh setahun lalu, tetapi prestasi ini masih ketinggalan berbanding syarikat lain.


Kumpulan berkenaan tambah Kenanga, jauh di belakang Solarvest Holdings Berhad yang sahamnya itu melonjak 68%, manakala Pekat Group Berhad pula hampir menggandakan nilainya dalam tempoh sama.


"Bagaimanapun, semua tujuh firma penyelidikan utama termasuk kami mengekalkan saranan 'beli’, mencerminkan keyakinan terhadap prospek jangka sederhana hingga panjang syarikat ini," katanya.


Ia turut menjangkakan pendapatan suku tahunan Samaiden berpotensi untuk meningkat kepada sekurang-kurangnya RM7 juta, berbanding hanya mencatatkan sebanyak RM3 juta hingga RM5 juta pada masa ini.


Kenanga menambah, unjuran perkembangan positif tersebut disokong oleh prestasi terkini syarikat berkenaan yang menunjukkan keberkesanan dalam pelaksanaan pelbagai projek RE di seluruh negara.


Suku terbaharu menunjukkan pemulihan pelaksanaan secara ketara, dengan keuntungan bersih sebenar sebanyak RM12 juta jika mengambil kira rosot nilai aset berlaku sekali sahaja sebanyak RM5 juta.


"Kebanyakan penganalisis didapati terlepas pandang mengenai perkara, dan kami menyifatkan jurang penilaian antara Samaiden dan rakan setaranya sebagai satu peluang pembetulan harga," jelasnya.


Situasi tersebut kata Kenanga, berikutan syarikat itu mempunyai buku tempahan tertinggi dalam sejarah sebanyak RM699 juta, serta didukung oleh senarai projek RE yang masih aktif di Malaysia.


Pemulihan dari segi pelaksanaan tambah firma berkenaan, dijangka menjadi pencetus kepada proses penarafan semula dan berpotensi untuk menyempitkan jurang penilaian dengan syarikat yang setara.


Dengan asas kukuh, momentum projek stabil dan keyakinan pelabur institusi meningkat, Samaiden dilihat bersedia memasuki pertumbuhan dalam ekosistem tenaga lestari negara. - DagangNews.com