Nilai saham Pavilion REIT naik didorong pemulihan sektor pelancongan, perbelanjaan domestik - CIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Nilai saham Pavilion REIT naik didorong pemulihan sektor pelancongan, perbelanjaan domestik - CIMB Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 7 Okt – Pemulihan berterusan dalam sektor pelancongan serta perbelanjaan domestik yang kekal tinggi menjadi pemacu utama lonjakan nilai saham Pavilion REIT di Bursa Malaysia.


Menurut CIMB Securities, ia meningkat lebih 30% setakat tahun ini dan diperkukuh oleh prestasi konsisten pusat beli-belah utama yang dimilikinya serta sumbangan positif aset baharu dalam portfolio.


Firma penyelidikan itu yang memulakan semula liputan ke atas Pavilion REIT, justeru memberi saranan ‘beli’ dan menetapkan harga sasaran RM2.04 sesaham, tertinggi dalam kalangan agensi penganalisis.


"Pertumbuhan pendapatan dijangka terus disokong oleh peningkatan kadar penghunian, pertumbuhan sewa yang stabil dan pendapatan baharu daripada sektor hospitaliti," katanya dalam satu nota kajian.


Tambah CIMB Securities, antara pemacu utama yang diberi perhatian ialah Pavilion Kuala Lumpur, yang terletak di lokasi strategik segi tiga emas ibu negara, mencatatkan peningkatan jumlah pengunjung.


Perkembangan tersebut jelasnya, hasil lonjakan pelancong antarabangsa yang mewakili sekitar 30% daripada trafik keseluruhan serta hotel-hotel dalam portfolio seperti Banyan Tree Kuala Lumpur.


Ia kata firma berkenaan, juga menunjukkan prestasi yang lebih baik, seiring dengan peningkatan tempahan selepas pandemik Covid-19 memberikan pendapatan positif kepada Pavilion REIT sendiri.


"Sementara itu Pavilion Bukit Jalil dijangka mencapai kadar penghunian 93% menjelang akhir 2025, didorong oleh pembukaan penyewa baharu menjelang musim perayaan pada hujung dan awal tahun," katanya.


Easyhome Mall pula jelas CIMB Securities, diramal mengurangkan kerugian pada tahun ini dan kembali mencatat keuntungan tahun hadapan selepas pelaksanaan strategi penyewa baharu yang lebih efektif.


Berdasarkan kepada perkembangan yang positif itu dengan menggabungkan potensi kenaikan harga saham dan pembayaran dividen, firma berkenaan mengunjurkan jumlah pulangan sekitar 14% buat pelabur.


Analisis tersebut turut mencatatkan belum ada lagi saranan 'jual' atau 'pegang' diberi oleh mana-mana firma penyelidikan, menjadikan Pavilion REIT sebagai antara REIT paling diyakini di pasaran pada ketika ini.


"Kesemua 11 penganalisis yang memantau saham ini memberikan saranan 'beli', menandakan keyakinan pasaran sangat tinggi terhadap prestasi kumpulan itu," kata CIMB Securities. - DagangNews.com