Nilai potensi sektor pembinaan cecah RM70 bilion, didorong lonjakan projek baharu – RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Nilai potensi sektor pembinaan cecah RM70 bilion, didorong lonjakan projek baharu – RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 SeptSektor pembinaan Malaysia dijangka meraih potensi kerja bernilai sehingga RM70 bilion, didorong oleh pelaksanaan pelbagai projek yang baharu, menurut RHB Research.


Firma penyelidikan tersebut berkata, ia meliputi ledakan daripada pertumbuhan pusat data (DC), infrastruktur awam, serta perbelanjaan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).


Berdasarkan perkembangan positif itu, firma berkenaan mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor ini dengan menyenaraikan Gamuda, Sunway Construction dan Binastra sebagai pilihan utama.


"Daripada sembilan syarikat di bawah liputan kami, empat melepasi jangkaan pasaran, termasuk Kerjaya Prospek, menunjukkan daya tahan sektor ini amat tinggi," kata RHB Research dalam notanya.


Tambahnya lagi, jumlah nilai kerja dilaksanakan semua syarikat pembinaan berkenaan turut melonjak 13% tahun ke tahun (YoY) kepada RM43.9 bilion pada suku kedua, paras tertinggi dalam sejarah.


Sektor ini katanya, kini menyaksikan lonjakan permintaan projek pembinaan DC, dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menandatangani lima perjanjian bekalan elektrik untuk tujuh projek.


Ia melibatkan keperluan tenaga berjumlah 733MW setakat Ogos 2025 dan RHB Research menganggarkan gabungan kapasiti terancang DC di Johor, Kuala Lumpur dan Port Dickson mampu mencecah 3,433MW.


"Angka tersebut boleh diterjemahkan kepada nilai projek antara RM58.7 bilion sehingga RM68.7 bilion, berdasarkan penanda aras standard kos pembinaan RM20 juta bagi setiap MW," katanya.


Selain DC, tambahnya, beberapa projek infrastruktur utama sedang menanti pengumuman antaranya, ART Johor yang dianggarkan bernilai RM7 bilion dengan keputusan dijangka diketahui hujung tahun.


RHB Research turut menyenaraikan LRT Pulau Pinang Fasa 1 dianggarkan RM3 bilion hingga RM4 bilion dengan tender akan diumumkan pada 2H25, manakala segmen kedua projek itu dijangka Oktober 2025.


Di samping itu, tambahnya, pelaksanaan RMK13 (2026–2030) dengan peruntukan sejumlah RM430 bilion perbelanjaan pembangunan turut memberi landasan kukuh kepada pengembangan sektor pembinaan.


"Indeks Pembinaan Bursa Malaysia (BMCI) kini diniagakan masih rendah berbanding potensi sebenar sektor itu dan kami percaya penilaian ini boleh naik lebih tinggi lagi," kata firma berkenaan.


Jelas RHB Research, perkembangan tersebut memandangkan semasa kitaran menaik pada 2017, indeks berkenaan hanya mencatat 16 kali perolehan tanpa sokongan projek DC seperti situasi sekarang.


Bagaimanapun, katanya, risiko yang perlu diperhatikan pelabur termasuk kelewatan projek baharu, kekurangan tenaga kerja, dan kemungkinan pelaburan DC yang mungkin dialihkan ke negara lain.


Secara keseluruhan, ia namun menjangkakan sektor ini kekal kukuh, dipacu oleh gabungan permintaan infrastruktur fizikal dan digital, menjadikan sektor paling berpotensi besar. - DagangNews.com