KUALA LUMPUR 29 Sept – Press Metal Aluminium Holdings Berhad berhadapan dengan risiko penurunan keuntungan bersih akibat kelemahan nilai dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding mata wang ringgit.
Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, bagi setiap penyusutan kadar tukaran asing sebanyak 5% dalam dolar AS dijangka boleh mengurangkan pendapatan kumpulan berkenaan mencecah sekitar 13%.
Bagaimanapun firma penyelidikan itu masih kekal optimis terhadap prospek syarikat berikutan harga aluminium global yang terus melonjak, disokong oleh ketegangan bekalan yang semakin meruncing.
"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran tidak berubah RM6.34 sesaham berdasarkan unjuran nisbah harga kepada pendapatan (PER) 25 kali pada FY26," kata firma itu dalam notanya.
Menurut Maybank IB, harga aluminium meningkat sejak April 2025 dengan mencecah paras tertinggi setahun iaitu AS$2,737 (RM11,533) satu tan pada September 2025, meningkat 7% suku ke suku (QoQ).
Justeru ia menjangkakan harga aluminium kekal kukuh dengan pertumbuhan bekalan global yang rendah sekitar 1.5% pada FY25, menimbulkan risiko defisit struktur apabila permintaan melebihi penawaran.
Firma berkenaan menambah, inventori aluminium yang didagangkan di Bursa Logam London (LME) turut dilihat berada pada paras terendah dalam dekad ini disebabkan oleh masalah gangguan bekalan utama.
"Sekatan ekonomi terhadap Rusia dan had pengeluaran maksimum ditetapkan kerajaan China iaitu 45 juta tan dengan 44.5 juta tan sudah dicapai pada Ogos 2025, menyebabkan stok global mula susut," katanya.
Selain itu jelas Maybank IB, isu kos tenaga yang tinggi turut memaksa penutupan beberapa loji peleburan di seluruh dunia kerana tidak dapat menampung lagi perbelanjaan besar operasi harian masing-masing.
Projek baharu di India dan Indonesia pula katanya, dijangka menyumbang kapasiti tambahan, tetapi proses pelaksanaan mungkin lebih perlahan daripada jangkaan, serta mengekang pertumbuhan bekalan.
Permintaan jangka pendek menghadapi cabaran dengan AS terjejas oleh tarif tinggi dan Eropah masih lemah, tetapi China dijangka mencatat pertumbuhan sederhana berikutan langkah rangsangan ekonomi.
Bagaimanapun dalam jangka sederhana hingga panjang kata Maybank IB, aluminium dijangka masih terus mendapat permintaan tinggi dari sektor tenaga bersih, kecerdasan buatan (AI), dan pusat data (DC).
"Pasaran alumina dijangka berlebihan bekalan sekitar 2 juta tan pada 2025, menyebabkan harga lemah dan memberi kelebihan kos input bagi Press Metal dalam operasi hilirannya," kata firma berkenaan.
Keadaan tersebut namun menyukarkan prestasi pendapatan kepada syarikat sekutu kumpulan berkenaan, Nippon Alumina International Holdings Limited (NAIHL) di Jepun dan PT Kan di Indonesia.
Secara keseluruhan, Maybank IB mengekalkan pandangan positif terhadap unjuran pretasi Press Metal meskipun risiko kewangan daripada kelemahan dolar AS dengan permintaan jangka pendek yang lemah.
Pertumbuhan kumpulan tersebut dijangka dibantu oleh faktor harga aluminium yang tinggi dan permintaan struktur kekal sebagai pemacu utama jangka panjang syarikat. - DagangNews.com








