KUALA LUMPUR 8 Mei – Niche Capital Emas Holdings Bhd sedang meneroka kerjasama strategik dengan Greensnow Consolidated Bhd bagi membangunkan rantaian bekalan penuh industri unsur nadir bumi (REE) di Malaysia, merangkumi aktiviti perlombongan, pemprosesan dan pembangunan infrastruktur berkaitan.
Kerjasama tersebut akan diterajui melalui unit nadir bumi milik Niche Capital iaitu NICE REE Sdn Bhd yang akan menjadi platform utama dalam penyelarasan projek bersama Greensnow.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Niche Capital berkata projek ini masih di peringkat awal selepas kedua-dua pihak memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi menetapkan rangka kerja awal kerjasama strategik tersebut.
Greensnow merancang untuk meneroka kira-kira 412,000 ekar kawasan berpotensi nadir bumi di beberapa negeri utama iaitu Kedah, Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Kawasan berkenaan dikenal pasti berpotensi mengandungi deposit nadir bumi jenis ion-adsorption clay, yang merupakan antara sumber penting bagi industri teknologi tinggi global.
Syarikat itu turut menyasarkan untuk mendapatkan hak perlombongan terpilih menjelang 2027, namun ia tertakluk kepada hasil kajian kebolehlaksanaan, kelulusan pihak berkuasa serta struktur pembiayaan projek.
Dari segi teknologi, projek ini akan menggunakan kaedah ‘in-situ leaching’ iaitu teknik pengekstrakan berimpak rendah yang dibangunkan dengan kerjasama Institut Teknologi Petronas dan Kolej Universiti TATI yang telah disahkan oleh SIRIM Berhad.
Selain itu, Greensnow turut membangunkan teknologi proprietari bagi proses pemisahan dan pemprosesan oksida nadir bumi, dengan loji perintis dijangka mula beroperasi pada suku ketiga 2026.
Secara keseluruhan, cadangan projek itu merangkumi rantaian nilai penuh termasuk penerokaan, perlombongan, pemprosesan, serta pembangunan infrastruktur sokongan industri nadir bumi di Malaysia.
Bagaimanapun, kedua-dua pihak menegaskan skop akhir projek masih boleh berubah kerana ia bergantung kepada kajian terperinci, kelulusan pengawal selia serta struktur pembiayaan dan belum dimuktamadkan.
Dari sudut pasaran, projek ini dianggarkan berpotensi menjana nilai karbonat nadir bumi sehingga AS$57.68 bilion (sekitar RM270 bilion), namun nilai sebenar adalah bergantung kepada harga pasaran global, kualiti bijih serta faktor operasi semasa.
Sementara itu, Niche Capital yang turut terlibat dalam perdagangan batu jed dan sektor pembinaan, mencatatkan keuntungan bersih RM371,000 bagi enam bulan berakhir 31 Disember 2025, berbanding kerugian RM4.8 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya, dengan hasil hampir tiga kali ganda kepada RM11.8 juta.- DagangNews.com








