KUALA LUMPUR 9 Sept – Dagangan niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka terus berlegar dalam julat sempit, menurut Affin Hwang Investment Bank.
Firma penyelidikan tersebut berkata, pelabur kekal berhati-hati menjelang laporan penting data bekalan dan permintaan daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang dijadualkan esok.
Katanya, walaupun kontrak hadapan MSM ditutup lebih tinggi semalam disokong oleh pengeluaran awal September 2025 yang lemah serta pengukuhan harga minyak pesaing, momentum pasaran kekal perlahan.
"Dagangan dilihat bergerak mendatar pada sesi lewat, manakala sentimen pasaran dijangka kekal berhati-hati menjelang laporan MPOB bagi bulan Ogos 2025 yang dikeluarkan esok," kata Affin Hwang.
Data paling baharu itu tambah firma berkenaan dalam notanya hari ini, bakal menjadi tumpuan utama pelabur MSM, terutamanya dari segi situasi paras stok, eksport serta data pengeluaran semasa.
Laporan tersebut, dijangka menjadi pemacu arah pergerakan harga jangka pendek, dan pada penutupan semalam, kontrak penanda aras November 2025 naik RM40 untuk ditutup kepada RM4,488 setiap tan.
Peningkatan berkenaan kata Affin Hwang, dipacu oleh penurunan 6.28% dalam pengeluaran MSM dari 1 hingga 5 September, seperti dilaporkan oleh Persatuan Pengilang Minyak Sawit Selatan (SPPOMA).
"Bagaimanapun, pasaran dilihat seperti kehilangan arah menjelang sesi penutupan dagangan semalam dengan harga hanya berlegar dalam julat yang kecil," kata firma penyelidikan tersebut.
Ia menambah, harga untuk kontrak November 2025 memulakan dagangan pagi hari ini sekitar RM4,470 hingga RM4,480 satu tan, sedikit rendah berbanding harga penutup semalam.
Affin Hwang berkata, dalam sesi T1 semalaman, kontrak berkenaan sempat mencecah paras RM4,500 setiap tan, namun kemudian mengakhiri dagangan secara mendatar.
Dari sudut teknikal, paras sokongan segera dilihat antara RM4,445 sehingga RM4,450, manakala harga paras rintangan utama berada pada julat RM4,520 hingga RM4,530.
"Sebarang kenaikan harga MSM dalam masa terdekat berkemungkinan adalah terhad, sehingga laporan MPOB memberikan pemangkin baharu kepada pasaran," kata firma berkenaan.
Pasaran tambahnya, dijangka kekal dalam dagangan berhati-hati, digerakkan oleh faktor teknikal serta petunjuk luaran daripada pasaran minyak kacang soya di Dalian dan Chicago Board of Trade.
Pelabur menanti penuh minat data rasmi yang bakal mempengaruhi pergerakan niaga hadapan, terutama dalam konteks ketidaktentuan harga minyak global dan perubahan sentimen pasaran komoditi. - DagangNews.com








