KUALA LUMPUR 28 Ogos - NexG Bhd mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM2.82 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2027 (1QFY27), berbanding keuntungan bersih RM64.88 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Prestasi lemah itu menyusul kejatuhan hasil sebanyak 44.3% kepada RM49.24 juta daripada RM88.45 juta sebelum ini, terutamanya akibat permintaan yang lebih rendah terhadap kad pintar, pasport dan perkhidmatan pemperibadian.
Hasil daripada segmen teras tersebut merosot kepada RM29.99 juta pada suku berkenaan berbanding RM70.14 juta yang dicatatkan pada 1QFY26.
Kumpulan turut merekodkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM3.44 juta berbanding keuntungan sebelum cukai RM72.58 juta setahun sebelumnya, yang terjejas oleh kerugian nilai saksama ke atas pelaburan selain pengurangan bekalan produk.
Kerugian Mengecil
Bagaimanapun, terdapat perkembangan positif secara suku ke suku apabila kerugian sebelum cukai mengecil sebanyak 88% daripada RM28.59 juta pada 4QFY26.
Pengurangan kerugian operasi itu sebahagian besarnya disebabkan kerugian nilai saksama ke atas pelaburan lain yang lebih rendah.
Kerugian asas sesaham pula berada pada 0.06 sen, berbanding pendapatan asas sesaham sebanyak 2.01 sen pada suku sama tahun sebelumnya, manakala tiada dividen diisytiharkan.
Dalam perkembangan berkaitan, NexG mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan cadangan pengambilalihan anak syarikatnya, Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB).
Menurut kumpulan, keputusan itu memberikan kejelasan yang diperlukan bagi membolehkannya memberi tumpuan kepada operasi sedia ada dan pelaksanaan pelan strategik, khususnya dalam memastikan standard keselamatan dan kebolehpercayaan bagi penyelesaian identiti nasional Malaysia terus dipertahankan.
Kedudukan Kewangan
Dari segi kedudukan kewangan, NexG berkata, ia telah menggunakan sepenuhnya hasil kasar RM66 juta yang diperoleh menerusi penempatan persendirian sebelum ini setakat Mei 2026.
Sebanyak RM37.48 juta digunakan bagi membiayai projek semasa dan masa hadapan, diikuti RM12.87 juta untuk pemerolehan ruang kilang dan mesin, RM12.34 juta bagi pembayaran balik pinjaman bank serta RM2.96 juta untuk penyelidikan dan pembangunan.
Sehingga 30 Jun 2026, kumpulan mempunyai tunai dan setara tunai sebanyak RM109.57 juta, manakala jumlah pinjaman telah dikurangkan kepada RM31.55 juta.
Jumlah liabiliti turut menyusut 21.7% kepada RM77.28 juta susulan pembayaran balik hutang, mencerminkan kedudukan kunci kira-kira yang masih kukuh.
Pelaksanaan kontrak secara berdisiplin
Melangkah ke hadapan, NexG berkata ia kekal berhati-hati namun optimis terhadap prospek kumpulan, disokong oleh aktiviti ekonomi domestik yang berdaya tahan serta kemajuan projek infrastruktur.
“Dengan kontrak baharu yang kini memasuki fasa pelaksanaan, sumber, keupayaan dan pelan pelaksanaan yang diperlukan telah diselaraskan bagi menyokong pelaksanaannya dengan lancar dan mengikut jadual,” katanya.
Kumpulan berkata, fokus seterusnya adalah memastikan pelaksanaan kontrak secara berdisiplin, sambil meneroka peluang secara terpilih di pasaran luar negara bagi memperluaskan asas pendapatan dan mengurangkan kebergantungan kepada pasaran domestik. - DagangNews.com








