NexG berpotensi besar raih projek luar negara disokong kekuatan aliran tunai, penyediaan dokumen keselamatan berkualiti - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

NexG berpotensi besar raih projek luar negara disokong kekuatan aliran tunai, penyediaan dokumen keselamatan berkualiti - RHB Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Feb - NexG Bhd yang sebelum ini dikenali sebagai Datasonic Group Bhd berpotensi besar mendapatkan projek di luar negara dipacu kekuatan aliran tunainya, pengurusan kos serta penyediaan dokumen keselamatan yang berkualiti, kata RHB Research. 

 

Firma penyelidikan menyukai kumpulan itu kerana kekuatannya dalam menyediakan rumusan khusus dan potensi peningkatan daripada kejayaan projek baharu dengan penilaian yang menarik.

 

Katanya, lanjutan kontrak bagi membekalkan cip pasport kepada kerajaan Malaysia dengan nilai tambahan sebanyak RM104.78 juta menjadikan buku pesanan semasa adalah melebihi RM270 juta.

 

"Pengurusan kekal komited untuk mendapatkan lebih banyak projek di luar negara, memandangkan daya saing kos dan kualiti dokumen keselamatannya.

 

"Di peringkat tempatan, mereka menyasarkan lebih banyak kerja auto gate dan projek berkaitan IT. 

 

"Prospek pendapatan kumpulan itu kekal sihat di sebalik permintaan kukuh yang berterusan untuk pelbagai rumusan berkaitan kerajaan dan pengembangan margin," katanya dalam satu nota kajian.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Pemegang saham Datasonic lulus usul pertukaran nama kepada NexG Berhad

 

RHB Research berkata, pendapatan NexG pada 9MFY25 sebanyak RM76.9 juta memenuhi jangkaan dengan pertumbuhan 48.3% dari tahun ke tahun disokong purata harga jualan lebih tinggi dan permintaan iKad yang lebih tinggi.

 

Walaupun ketiadaan kontrak jangka panjang untuk rumusan utama, penilaian semasa adalah menarik, memandangkan penjanaan aliran tunai kumpulan yang kukuh di tengah-tengah permintaan berterusan untuk pelbagai rumusan dan potensi peningkatan daripada kejayaan kontrak baharu.

 

"Hasil tahun ke tahun kumpulan dirangsang permintaan kukuh bagi rumusan pasport dan kad pintar, purata harga jualan yang lebih tinggi serta sumbangan daripada segmen iKad.

 

"Keadaan itu ditambah dengan kos susut nilai yang lebih rendah meningkatkan pertumbuhan keuntungan teras. Keuntungan teras 3QFY25 meningkat 21.6% disebabkan permintaan yang lebih kukuh dan caj susut nilai yang lebih rendah," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) 50 sen sesaham. - DagangNews.com